KHAIRUNNISA Hargai Bakti Guru PASTI

629

Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN – Persatuan Isteri-isteri Wakil Rakyat dan Mantan Wakil Rakyat PAS Terengganu (KHAIRUNNISA) amat menghargai sumbangan tenaga pengajar yang menyumbang bakti di Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam (PASTI) Negeri Terengganu.

Ahli Jawatankuasanya, Hajah Rugayah Mahmood berkata sumbangan mereka tidak hanya semata-mata mengajar tetapi juga mendidik kanak-kanak seawal empat tahun dengan penuh dedikasi.

“Mereka istiqamah kerana tidak mengira gaji yang diberikan, kita tahu gaji guru PASTI tidak seberapa, tetapi mereka tetap bersungguh-sungguh memberi tunjuk ajar dan mendidik anak cucu kita,” sambungnya dengan nada terharu.

Rugayah yang berkata demikian ketika kunjungan sempena Lawatan Mahabbah Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu ke PASTI – PASTI di Dewan Undangan Negeri(DUN) Rantau Abang di sini pada 15 April.

Menurutnya, lawatan tersebut adalah siri yang ketiga, terdahulu siri pertama dan kedua ke PASTI di DUN Sura dan diikuti siri keempat, kelima di DUN Rantau Abang seterusnya siri keenam, ketujuh ke DUN Paka manakala kelapan dan kesembilan di DUN Bukit Besi.

“Kita ingin mengenali mereka daripada dekat guru-guru PASTI kerana kami amat berbangga dengan mereka, dengan komitmen yang ditunjukkan walaupun dengan gaji tidak seberapa tetapi demi Islam mereka laksanakan tugas sebaik mungkin,” tambahnya yang merupakan isteri ADUN Rantau Abang, YB Cikgu Alias Harun.

Dalam kunjungan kali ini, sebanyak empat buah PASTI telah dilawati iaitu PASTI An-Najihin(Balai Besar), PASTI Qaryah Gong Pasir, PASTI Al-Iman (Pulau Serai) dan PASTI Taman Permint Indah.