Khairunissa Sinari Kehidupan Asnaf Menjelang Syawal

198

Oleh : Khalid Abdullah

KEMAMAN – Sumbangan wangtunai dan barangan dapur oleh Persatuan Isteri Wakil Rakyat Dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunissa Terengganu) kepada golongan asnaf ternyata menyinari kehidupan golongan tersebut menjelang ketibaan Syawal nanti.

Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Che Alias Abd Hamid berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sinar Ramadan Bersama Khairunissa Terengganu yang diadakan di Dewan Sivik Kertih, di sini, pada Jumaat, 17 Mei 2019.

“Usaha untuk menyampaikan sumbangan seumpama ini di bulan Ramadan sangat terpuji, rakyat kita berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi sejak sekian lama.

“Sudah tentulah golongan asnaf yang kurang berkemampuan ini, mereka juga yang kita raikan pada pagi amat terkesan dengan situasi ini dan sumbangan oleh Khairunissa Terengganu akan mendatangkan suasana kegembiraan di kalangan mereka.

“Usaha-usaha sebegini juga mendapat sambutan yang amat baik dari pelbagai pihak terutamanya dari pertubuhan bukan kerajaan atau syarikat korporat yang turut memberi sumbangan kepada rakyat Terengganu,” ujar Che Alias.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman sangat berbangga dengan peranan yang dimainkan oleh Khairunissa Terengganu terutamanya dalam menyampaikan maklumat dan dasar kerajaan kepada seluruh rakyat negeri ini.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Khairunissa Terengganu, Hajah Zarani Othman dalam ucapan alu-aluan memberitahu, seramai 120 orang asnaf dari Zon Selatan melibatkan Kawasan Parlimen Dungun dan Kemaman diraikan dalam majlis berkenaan.

“Sebelum ini, pada 13 Mei lalu, kita adakan di Zon Utara yang melibatkan Kawasan Parlimen Besut dan Setiu, manakala di Zon Tengah melibatkan empat Kawasan Parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu pada 15 Mei lalu.

“Setiap Kawasan Parlimen melibatkan 60 orang penerima sumbangan, kira-kira 15 orang setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN),” tambah Zarani.

Beliau yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Terengganu, juga memberitahu Khairunissa Terengganu yang ditubuhkan pada bulan Disember 1999 lagi tidak hanya bertumpu kepada di bulan Ramadan sahaja, malah banyak program-program kesihatan dan pendidikan dilakukan sepanjang tahun.

Antara kenamaan yang turut hadir di program berkenaan adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhali, ADUN Air Putih, Cikgu Razak Ibrahim dan isteri-isteri ADUN dari Parlimen Dungun dan Kemaman.