Khairat Kematian PAS Dun Jabi Terus Tabur Bakti

235

Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 17 Februari – Khairat Kematian PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi terus menabur bakti bagi meringankan bebanan keluarga si mati selari dengan ajaran Islam.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata, Islam mengajar umatnya untuk sentiasa terkedepan dalam menghulurkan bantuan dalam pelbagai kaedah agar tidak menyusahkan tuan rumah.

“Badan Kebajikan dan Khairat Kematian PAS Dun Jabi sentiasa bersedia untuk berbakti kepada keluarga simati. Untuk yang telah pergi, kita kirimkan doa. Bagi keluarga yang ditinggalkan, kita bantu permudahkan urusan mereka,’’

“Antaranya, kita sumbangkan tunai RM1000 kepada keluarga simati bagi pengurusan jenazah. ‘Standard Operating Procedure’ (SOP) kita, wang sumbangan hendaklah sampai kepada waris arwah sebelum jenazah disolatkan.’’

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Agung Badan Kebajikan Dan Khairat Kematian PAS Dun Jabi Kali Ke- 12 Di Dewan Terbuka Pasti As-Syakirin, Kampung Bukit Tanah, baru-baru ini.

Menurut beliau yang juga Pengarah Majlis Tindakan Dun Jabi, setakat ini ia dianggotai oleh sebanyak 724 keluarga di Dun Jabi. Setiap satu keluarga hanya memerlukan satu keahlian sahaja. Malah, pasangan suami isteri dan anak-anak semuanya dikira dalam memberi sumbangan.

‘’ Ia merupakan satu usaha untuk meringankan beban saudara kita yang ditimpa musibah. Konsep kita mudah, bila ada kematian samada ahli, pasangan atau tanggungan ahli, setiap ahli yang hidup perlu menyumbang RM3 sahaja. Sangat sedikit, tidak membebankan dan tiada yuran bulanan.’’

‘’ Saya melihat ada beberapa kampung boleh dibuat contoh seperti di Masjid Tanah Merah. Pihak masjid menyediakan makanan untuk majlis tahlil si mati. Begitu juga dengan Skuad Khidmat Muslimat PAS Jabi. Mereka bergotong-royong memasak ramai-ramai, setelah siap hantar ke rumah si mati,’’

Dr Azman menyeru masyarakat mengubah pemikiran sekiranya berlaku kematian agar tidak menambahkan beban tuan rumah untuk memikirkan apa yang nak diisi perut kita.