Kewajipan Berpolitik Umat Islam Adalah Asas Kedaulatan Agama

292

Politik dan agama tidak boleh dipisahkan. Ia adalah perkara asas dalam agama yang terangkum sebahagian daripada tuntutan syahadah, bahkan para Nabi dan Rasul terdahulu juga terlibat secara langsung dengan politik dan pemerintahan. Turunnya manusia pertama ke muka bumi adalah sebagai Khalifah Allah, juga mempunyai stigma politik, untuk mentadbir bumi dengan acuan langit.

Tidak sewajarnya umat Islam hari ini dikelirukan tentang politik bukan dari perkara usul dalam agama. Bahkan lebih mendukacitakan ia diungkapkan ketika umat Islam berada di ambang ancaman musuh-musuh Islam yang semakin memuncak. Dikelirukan lagi dengan kalimah yang amat lunak tetapi hakikatnya batil apabila mengatakan ketidakwajaran agamawan berpihak dengan politik kepartian atas alasan meraikan semua pihak. Maka akan dipenuhilah medan politik yang asalnya ladang akhirat menjadi kancah maksiat.

PAS tidak pernah mendabik dada mereka yang tidak bersamanya sebagai terkeluar daripada Islam, malah menolak budaya takfiri didorong oleh kejahilan dan semangat yang melampaui batas sesetengah pihak.

Kita seharusnya melihat politik dalam kerangka aqidah berasaskan jalur pemikiran bahawa menegakkan pemerintahan Islam itu adalah suatu kemestian oleh umat. Ramai ulama’-ulama’ muktabar menulis kitab tentang politik dan pemerintahan.

Apakah mereka hanya mengakui politik sekadar perkara ijtihadi, tidak membincangkan perkara batasan iman dan kufur? Tidakkah Syiah, Khawarij bahkan Ahlu Sunnah itu bermula dengan pertelingkatan politik yang akhirnya menatijahkan sengketa akidah?

Tidaklah mudah untuk seseorang menyimpulkan politik bukan perkara dalam kerangka aqidah hanya semata-mata ingin menolak politik ta’asub sesetengah pihak, sehingga meninggalkan kewajipan-kewajipan syariat yang lebih besar dan aula untuk diutamakan.

Bahkan peristiwa Hudaybiyyah menyaksikan Nabi SAW bersetuju menangguhkan umrah demi menghormati sebuah perjanjian “berat sebelah”, namun disebaliknya sebuah pengiktirafan terhadap kedaulatan Negara Islam Madinah dan kemenangan jangka panjang kepada Islam.

Jika umat Islam hari ini mengabaikan politik kerana berlapikkan alasan ia bukan perkara usul, tidakkah dibimbangi ia akan membuka ruang-ruang kemudharatan yang lebih parah dengan musuh-musuh yang semakin berani menonjolkan diri? Kewajaran Fiqh Al-Maalats dicerakini!

Apatah lagi saban hari media melaporkan isu-isu sensitiviti umat Islam yang semakin galak dilanggar sesuka hati. Normalisasi LGBT hinggakan Himpunan LGBT dianggap biasa dan dilindungi dibawah “kebebasan berhimpun dan bersuara”, jenama arak tanpa alkohol, belum lagi kita bercakap soal kebebasan beragama sehingga mengenepikan soal murtad dan sebagainya.

Saya sangat bersetuju bahawa kita tidak seharusnya berpolitik sehingga melampaui batas agama, budaya dan norma. Politik fitnah hinggakan skrip politik seksual berusia dua dekad terus ditayangkan, sangat memualkan menjadi modal ampuh untuk menjatuhkan pihak yang tidak sekapal sewajarnya tidak lagi diamalkan pada era kononnya Malaysia Baru.

Rakyat kecewa dan semakin loya. Ironinya tiada pula suara vokal para agamawan yang mengemis di pintu Kerajaan menegur keterlanjuran aktor-aktor politik yang menjelekkan ini. Mereka masih lagi sibuk berseminar dengan kertas-kertas teori sampai terlupa mereka sedang memegang tampuk pelaksana.

Sebaiknya umat Islam ini disedarkan bahawa jika mereka meninggalkan politik kerana ingin membatasi dirinya dengan fitnah, ketahuilah bahawa mereka telah termasuk kekancah fitnah tersebut, ancaman musuh terhadap akidah dan syariah seperti yang terbentang di hadapan mata adalah lebih besar fitnahnya dan wajiblah kita bersama menghindarinya.

“Islam Memimpin Perpaduan”

AZHAR BIN YAHYA
Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan