Ketagih Bawa Padah

122

Apabila seseorang itu menghisap dadah, dia seolah-olah terperangkap dalam satu penjara yang boleh dikatakan hampir mustahil untuk keluar darinya. Bahaya dadah sudah diketahui orang. Ianya bermula dari sikap mahu mencuba, seronok, ada kumpulan sendiri, ada bekalan dan akhirnya ketagih.

Akibat dari salah memilih kawan, kurang ilmu, iman yang lemah atau mungkin tertipu, maka mereka menjadi mangsa. Mereka kemudiaannya akan sentiasa mencari ‘barang’ bagi menghilangkan keresahan akibat ketagihan itu.

Bagi mencapai tujuan ‘stim’, mereka akan menghabiskan duit mereka, membeli dadah. Jika tiada duit maka mereka akan mencarinya, biasanya pada jalan yang salah seperti mencuri, pecah rumah dan sebagainya. Jika bernasib baik, mungkin dillantik menjadi pengedar kecil-kecilan.

Tugasnya memastikan bekalan sampai ke tangan pembeli. Kalau dia otak bisnes, mungkin dia boleh re-pack dadah tu, ambil sedikit, kumpul, dapat banyak nanti. Tapi kena pandai, jangan diketahui orang, kalau tidak kartel dadah boleh sampai tahap bunuh. Paling mudah, dia kena rekrut penagih baru. Bila ada budak baru, jadi macam MLM, dia naik jadi manager pulak.

Akhirnya yang rosak masyarakat. Yang merana ibu bapa melihat anak-anaknya jadi hancur. Yang untung pengedar. Yang teruk, penagih. Mereka tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Hanya pasrah. Setiap kali mahu keluar, mereka akan ditawarkan dengan dadah supaya khayal kembali. Mereka tahu salah, tapi mereka sudah tidak berdaya, mereka sudah ketagihan.

Dan pengedar pula mesti memastikan pelanggan tidak sedar. Kerana jika pelanggan sedar, mereka akan menghukum pengedar. Hilanglah kekayaan, hilang kekuatan, hilang segala-galanya. Llebih parah, mungkin ke penjara atau tali gantung.

Baik, itu bahaya ketagihan dadah. Adapun ketagihan fitnah juga lebih kurang begitu. Setiap kali PRK, pasti akan ada fitnah yang disebarkan, kemudian senyap sejurus PRK berakhir. Maka pada setiap PRK, fitnah akan bertebaran sebagaimana dadah tadi.

Ia berfungsi bagi mengkhayalkan penyokong mereka yang sedang ketagihan fitnah. Jika tidak dibekalkan dengan suntikan fitnah ini, penyokong mereka akan tertanya-tanya, sudah kalahkah kita sebelum berjuang? Maka mereka akan marah. Kalah PRK bukan isu besar, tetapi tiadanya fitnah, itulah yang membuatkan penyokong mereka tidak senang duduk.

Biarpun sudah berkali-kali mereka memfitnah, kemudiannya terbukti salah, mereka tetap bangga dengan usaha pimpinan mereka. Mereka bersorak riang, tersenyum sinis, menjeling dalam ketawa, sungguh mereka rasakan akan terkenalah lawan mereka pada kali itu walaupun mereka yakin akhirnya cerita itu tak ke mana.

Malangnya, mereka tidak sedar kerana bekalan dadah fitnah dari pimpinan mereka itu, hanyalah bagi mengelakkan mereka dari mengamuk marahkan pimpinan. Jadi biarkan penyokong mereka berhalusinasi setiap hari dan dos dadah fitnah akan dinaikkan kadarnya apabila hampir dengan PRK.

Apa tidaknya, pimpinan merekalah yang mula memberikan ubat khayal ini. Bayangkan jika penyokong mereka tahu dan sedar, maka habislah bos-bos mereka. Penyokong mereka akan bersatu dengan rakyat bagi menghumbankan mereka turun dari kerusi empuk kekuasaan itu. Dan mungkin juga akan dihadapkan ke mahkamah. Jadi dadah fitnah ini amat berkesan bagi mempertahankan kedudukan mereka.

Marilah kita sama-sama membantu penyokong mereka keluar dari ketagihan fitnah ini. Sedarkan mereka bahawa semua itu adalah fatamorgana sahaja. Ianya bagi melindungi kepentingan kartel-kartel mereka sahaja, bukan rakyat. Dan ianya sudah jelas terbukti.

Mohd Nasir Abdullah
09 Januari 2020