Kes Rafizi: Peguam Negara Perlu Disiasat

378

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) amat terkejut dengan pengumuman Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, bahawa beliau akan mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai-pegawainya yang telah memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Lebih mengejutkan, Tan Sri Tommy Thomas dilapor menyatakan keputusan untuk tidak memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang dibuat selepas beliau berbincang dengan Pengerusi SPR, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Pendedahan ini menimbulkan keraguan mengenai institusi Peguam Negara yang tidak lagi dapat diharap bertanggungjawab melaksanakan undang-undang negara secara bebas tanpa dipengaruhi oleh pihak-pihak lain. Apa kaitan Pengerusi SPR dengan kes ini sehingga ia tidak mahu dirayu?

Adalah menjadi prosedur biasa undang-undang untuk rayuan dibuat bila Mahkamah Tinggi menterbalikkan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Seksyen Shah Alam pada 7 Februari 2018 selepas Hakim Zamri Bakar mendapati Rafizi Ramli bersalah kerana mendedahkan data perbankan dari akaun NFC.

Kesalahan mendedahkan data perbankan daripada akaun syarikat adalah satu kesalahan besar kerana jika ia diputuskan sebagai tidak salah, sudah pasti akan menjejaskan keyakinan pelanggan bank dan para pelabur untuk melabur serta melakukan urusan perbankan di negara ini kerana ia tidak lagi rahsia.

Pegawai-pegawai di Jabatan Peguam Negara harus dilindungi daripada campur tangan politik, mereka harus dipuji bukan diambil tindakan tatatertib. Yang harus disiasat dan diambil tindakan tatatertib ialah Peguam Negara yang sepantas kilat menyebut akan menarik balik rayuan selepas dikritik oleh Rafizi Ramli.

PAS juga mengecam tindakan Ahli Parlimen Port Dickson yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang secara terbuka cuba mencampuri urusan Jabatan Peguam Negara dengan meminta ia menarik balik rayuan tersebut.

Semua ini bercanggah dengan akujanji Pakatan Harapan dalam manifesto yang kononnya mahu memastikan sistem perundangan dan kehakiman negara benar-benar bebas.

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
7 Disember 2019 l 9 Rabiul Akhir 1441