Kerjaya Doktor Bukan Penghalang

415

Oleh : Azizah Mahmood

KUALA TERENGGANU – Kesibukan tugasan sebagai seorang doktor perubatan tidak menghalang untuk melakukan aktiviti ziarah bertemu masyarakat
di Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam.

Isteri kepada Yang Dipertua PAS, Dr. Fadzilah Ismail berkata, kegiatan turun padang kebiasaannya dilakukan pada sebelah pagi dengan mengambil kira waktu bekerja pada sebelah petang.

” InsyaAllah saya sudah susun jadual ziarah untuk bersama masyarakat di dalam DUN dan kerjaya sebagai doktor bukan suatu halangan.

“Saya akan turun ziarah bersama pasukan kebajikan muslimat DUN dan mereka akan mengatur rumah-rumah untuk saya ziarah melibatkan orang sakit, uzur, bersalin dan sebagainya,” jelasnya

Beliau yang juga merupakan Isteri kepada Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program ziarah pada hari Khamis, 2 Januari.

Sehubungan dengan itu, Ketua Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat DUN, Rasidah Yong berkata, kebiasaannya program ziarah yang diadakan bersama beliau diadakan dua kali seminggu.

“Jika doktor maklum jadualnya, maka kita akan menyusun ziarah ke cawangan berdasarkan maklumat yang diterima dalam menyelaraskan gerak kerja antara DUN dan Cawangan,” ujar beliau.

Menurutnya, beliau telah turun menziarahi empat buah kampung iaitu Kg Gong Pauh, Lorong Siakap Losong Wakaf Nyor Kembar, Taman Setia Dan Seberang Baruh Kiri.

Turut hadir ialah Ahli Jawatankuasa (AJK) Muslimat Cawangan terbabit dan dua orang Ajk Kebajikan Muslimat DUN.