Kerjasama PAS-UMNO Bukan Kerana Kuasa

99

Oleh: Saifullah Jusoh
Foto: Afiq Zohor, Norekwan Mamat

BESUT – Naib Presiden PAS YB Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan, kerjasama PAS-UMNO bukan hanya kerana inginkan kuasa semata-mata.

Katanya, Muafakat Nasional itu adalah demi menyelamatkan Islam dan Melayu di bumi Malaysia dan bukanya untuk mendapat kedudukan atau jawatan.

“Cita-cita kita adalah untuk memastikan agama Islam didaulatkan dan hukum-hukum Allah dapat dilaksanakan di Malaysia.

“Walaupun luka kita dengan UMNO masih terasa, namun kita perlu memandang jauh ke hadapan demi memastikan agama Islam terus terjaga,” kata Mohd Amar.

Beliau berkata ketika menyampaikan taklimat dalam program Taklimat Isu Semasa yang dianjurkan oleh PAS Kawasan Besut di Dewan Gong Kemuntong, Besut pada malam 10 Oktober 2019.

Turut hadir pada program ini ialah Yand Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu,YB Dato’ Yahaya Ali, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Dr Riduan Mohd Nor dan Yand Dipertua PAS Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad.

Sehubungan itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata program ini diadakan bagi memberi penerangan tentang isu-isu semasa kepada rakyat.