Kerjasama PAS Dan Umno Untuk Masa Depan

460

Oleh : Muhd Afiq Zohir
Foto : Che Yee

BESUT – Kerjasama Parti Islam Semalaysia (PAS) dan Umno adalah untuk menjamin masa hadapan anak cucu, Islam dan Melayu.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata ia mampu melonjakkan pengaruh dan merombak lanskap politik tanah air.

“Gabungan pembangkang dan (parti memerintah) kerajaan paling lama di Malaysia mampu membentuk satu gelombang yang terbaik,

“Untuk memastikan Islam memimpin negara ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perpaduan Ummah di Dewan Terbuka Gong Kemuntong, Jerteh, semalam 10 September.

Hadir sama pada program itu ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato Haji Husain Awang, Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad dan Ketua Umno Bahagian Besut, Tuan Haji Nawi Mohamad.

Menurutnya kerajaan yang dipimpin PAS telah terbukti, membawa keadilan kepada rakyat.

“PAS memerintah Kelantan selama 29 Tahun, tidak ada seorang pun (orang) Cina atau India yang dibunuh kerana Islam mengajar kita jangan berbuat zalim,

“Pemerintahan (PAS) di Kelantan atau Terengganu, kita tahu (pemimpin) memimpin dikaitkan dosa dan pahala, disebabkan itu kezaliman tidak berlaku pada golongan bukan Islam,” tegasnya.

Kata beliau, sejarah mencatatkan, tidak berlaku penindasan apabila Islam diberi kuasa dan memerintah.

“tidak ada penindasan terhadap golongan minoriti daripada bukan Islam. Kota Kaherah, Mesir terdapat perkampungan kristian ortodok, ratusan tahun Islam memimpin tidak pernah dirobohkan,

“Menegakkan agama dan menguruskan dunia dengan Islam merupakan tanggungjawab kita semua agar tidak dipersoalkan diakhirat kelak,” tambahnya.

Justeru katanya, jika Islam memimpin, semua rakyat termasuk bukan Islam akan turut dijaga kebajikan mereka.