Kerjasama PAS Dan UMNO, Demi Keuntungan Islam

493

Oleh : Adli Mohamad.

KUANTAN- Usul yang dikemukakan di dalam Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat Kali Ke 58 menyatakan bahawa kerjasama PAS dan UMNO adalah demi keuntungan Islam.

Pengerusi Tetap Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP), Dr. Hamdan Mohamad berkata kerjasama diantara PAS dengan parti berkenaan perlu dijalinkan secara lebih rapat lagi.

“Kerjasama yang boleh membantu kepada kemenangan Islam.

“Kalau kerjasama itu tidak menguntungkan Islam, maka tidak ada erti bekerjasama kerana tidak dapat mengangkat Islam ke tempat yang sebenar kerana PAS bukan berpolitik dalam pilihan raya semata-mata. Kerana PAS ini juga merupakan parti dakwah dan tarbiah,” jelasnya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui pemberita, semasa hadir pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-65, di Stadium Tertutup SUKPA, Indera Mahkota, di sini pada Jumaat 21 Jun.

Menurut beliau, PAS bukan sahaja mahu menjalinkan kerjasama dengan UMNO sahaja bahkan parti-parti yang lain agar ruang berdakwah itu menjadi lebih terbuka.

“Kesempatan berbaik dengan semua parti-parti termasuk UMNO adalah untuk berdakwah kepada masyarakat Islam sendiri malah terbuka juga kepada bukan Islam*, ujarnya lagi.

Sehubungan itu juga, beliau menyatakan bahawa ucapan dasar Tuan Guru Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang adalah ucapan yang tersangat baik.

“Merangkumi semua aspek meliputi agama, politik dan sosial.

“Malah ucapan berkenaan mengambarkan kematangan PAS dalam menangani isu-isu yang berbangkit di dalam masyarakat terutama sekali didalam isu yang berkait dengan perpaduan umat di kalangan Islam dan juga bukan Islam,” jelasnya.

Tambahnya lagi, ucapan dasar presiden itu dapat memberikan satu tenaga baru ke arah menyatukan kembali masyarakat di Malaysia ini terutamanya di kalangan orang Islam sendiri.

Katanya juga, apabila masyarakat mula faham dan memahami Islam sebagai satu cara hidup yang menyeluruh dan dasar hidup maka ianya akan dapat menyelamatkan masyarakat dan bangsa.

“InsyaAllah, ianya akan menjadi satu kekuatan kepada kita di dalam masyarakat pada hari ini,” tegas beliau.