Kerjasama Islam Hadapi Covid-19

259

Prinsip asas hubungan antarabangsa dalam Islam adalah mendahulukan perdamaian, bersikap toleransi dan bekerjasama sesama manusia.

Mesej Islam yang berkonsepkan masyarakat madani ini juga telah menghubungkan Islam dengan seluruh manusia dan menghulurkan tangan kebaikan kepada semua, terutama dalam tempoh kritikal dunia dilanda wabak Covid-19 dan berdepan dengan kesan penyebarannya yang sedang berlaku.

Maka menjadi suatu kewajipan bagi pemerintah Islam untuk saling bekerjasama dan bersatu antara satu sama lain, serta mendukung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan institusi-institusinya dalam membuat ketetapan dan tindakan yang bersungguh-sungguh bagi membantu negara-negara anggota dalam menghadapi wabak Covid-19 yang sedang merebak dan menyelaraskan tindakan yang perlu diambil oleh setiap negara.

Selain itu, hendaklah dijalinkan kerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa bagi membentuk kesatuan umat manusia dan meninggalkan fanatik perkauman, perbezaan dan perpecahan sesama bangsa, agama dan ideologi masyarakat, kerana Islam adalah agama yang adil dan meletakkan manusia dalam satu keluarga yang besar.

Firman Allah SWT:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ١٣﴾ (الحجرات: 13)

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat: 13)

Allah SWT juga menggalakkan kerjasama dalam perkara kebaikan, kebajikan dan taqwa yang dijelaskan di dalam al-Quran kepada orang-orang yang beriman;

﴿وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَ‍َٔانُ قَوۡمٍ أَن صَدُّوكُمۡ عَنِ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ أَن تَعۡتَدُواْۘ وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ٢﴾ (المائدة: 2)

“Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari Masjid al-Haram itu – mendorong kamu menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” (Surah al-Maidah: 2)

Dunia dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu negara maju, membangun, kaya dan miskin, namun dunia Islam dianggap sebagai negara yang paling lemah, walaupun mempunyai kedudukan geografi yang strategik berbanding negara-negara lain dan mempunyai hasil bumi luar biasa yang dijadikan oleh Allah SWT sebagai kurniaan kepada orang Islam walaupun mereka dalam keadaan lemah, berpecah belah dan dihancurkan kesatuan mereka.

Jika dilihat kepada peta dunia Islam dari lautan ke lautan yang lain, dari Tangier di Maghribi sehingga ke Jakarta di Indonesia, kita melihat peta ini bersambung dengan sempadan darat dan lautan serta terletak di kedudukan yang strategik dan kaya dengan sumber tenaga manusia dan hasil yang bermanfaat daripada perut bumi. Dunia Islam kaya dengan para ulama’, tenaga pakar, tenaga kerja mahir, sumber pertanian dan sumber mineral.

Bertitik tolak dari keadaan yang demikian, kita harus mengambil pelajaran dari negara-negara penjajah Barat yang telah mengambil manfaat daripada hasil bumi kita, sedangkan kita tidak mendapat sebarang manfaat daripadanya.

Pasaran Eropah dan badan koperasi ekonomi di negara-negara maju yang kaya raya itu amat bergantung kepada pelaburan daripada hasil bumi milik kita. Mereka juga mengeksploitasikan kepintaran anak-anak kita dan menjadikan mereka sebagai pekerja di kilang-kilang dan kedai-kedai perniagaan. Namun, kenapa kita masih ketinggalan daripada bangsa yang lain?

Sebabnya adalah kelalaian kita, tidak melihat nikmat Islam yang dianugerahkan oleh Allah SWT dan berlakunya kerosakan politik yang teruk sehingga mengakibatkan kita jauh ketinggalan. Akhirnya kita mensia-siakan sumber kekayaan yang dimiliki dan memberi peluang kepada orang lain untuk memakan harta dan hasil bumi milik kita.

Oleh itu, wajib ke atas umat Islam untuk bangkit menyahut seruan ke arah kesatuan Islam, yang menjadi sebab kemuliaan dan kekuatan umat Islam dengan bersikap sederhana (wasatiyyah). Ia sebagai saksi kepada rakyat, terutamanya di waktu ini kuasa-kuasa besar tidak dapat menghadapi krisis Covid-19 dan kesan wabak ini terhadap politik, ekonomi dan sosial yang semakin membimbangkan apabila berlakunya peningkatan kes yang berterusan. Hanya Allah sahaja yang mengetahui akibatnya, dan menjadi sebab kepada keretakan hubungan antarabangsa negara-negara.

Negara-negara Islam mesti bangkit dengan memanfaatkan geografi dan kedudukan negara yang sangat penting di peringkat antarabangsa dan negara-negara lain. Kita mesti kembali kepada Islam, menghidupkan persaudaraan yang berasaskan keimanan dan kesatuan Islam antara setiap umat, dan memanfaatkan kekuatan kita dari sudut rohani, kemanusiaan dan kebendaan.

Selain itu, kita mesti mematuhi segala perintah syariat Islam yang mulia, di samping mengambil ijtihad yang lebih terbuka dan luas jika berlaku kesempitan dalam kehidupan, serta melaksanakan perkara yang paling penting (dharuriyat) dan mendahulukan perkara yang lebih utama (awlawiyat) bagi menghadapi realiti yang kita sedang hadapi sekarang.

Negara-negara Islam juga perlu bekerjasama dalam pelbagai bidang seperti bidang perubatan, teknologi, dan pertanian. Adalah sangat memalukan bagi umat Islam apabila menunggu bantuan orang lain bagi mendapatkan ubat-ubatan. Ini disebabkan minda anak-anak orang Islam telah dirosakkan, sedangkan ia merupakan harta paling berharga yang harus dibebaskan daripada terus dieksploitasikan kebijaksanaan akal mereka oleh negara barat yang kaya raya.

Kerjasama yang dijalinkan adalah lebih baik, jika diadakan antara negara Islam yang kaya yang mempunyai padang pasir dengan negara Islam yang miskin tetapi mempunyai tanah yang subur, melalui pelaburan wang dan memanfaatkan kepakaran dan tenaga kerja untuk memenuhi keperluan umat Islam dan membantu seluruh manusia.

Kita tidak minum minyak atau gas, dan kita tidak menelan wang tunai, dinar, dirham, dolar, riyal, sumber mineral, dan lembaran kertas. Sebaliknya, manusia memerlukan makanan, pakaian, dan pertanian, serta mendirikan industri yang profesional berasaskan ilmu, pengetahuan, dan kepakaran.

Malangnya ada di kalangan manusia yang ditimpa ujian kesakitan dan kematian kerana makan dan minum yang berlebihan, ada juga yang mati kerana kekurangan ubat-ubatan dan kemudahan hospital, serta sebahagiannya lagi mati kerana kelaparan dan dahaga. Ini menjadikan jurang perbezaan yang besar antara kedua-duanya.

Kita harus mengambil berat urusan umat Islam yang ditindas dan menjadi mangsa pelarian di negara-negara timur dan barat, sama ada di Gaza, Kashmir, Yaman dan Syria, serta saudara-saudara kita di Myanmar, golongan minoriti Rohingya Muslim.

Oleh itu, cukuplah dengan apa yang telah memecahbelahkan dan menyebabkan perselisihan dalam kalangan umat Islam, sehingga diperalatkan dan dipergunakan untuk saling bermusuhan sesama sendiri.

Cukuplah dengan sikap asabiyah perkauman yang menjadi penyebab berlakunya perpecahan sehingga menjadi seperti orang jahiliah yang menjijikkan.

Jadilah hamba Allah yang bersaudara.

Ingatlah firman Allah SWT:

﴿وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ١٠٣﴾ (آل عمران: 103)

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai” (Surah Ali ‘Imran: 103)

Firman Allah SWT:

﴿وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ تَفَرَّقُواْ وَٱخۡتَلَفُواْ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ لَهُمۡ عَذَابٌ عَظِيمٞ١٠٥﴾ (آل عمران: 105)

“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.” (Surah Ali ‘Imran: 105)

Firman Allah SWT:

﴿كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ١١٠﴾ (آل عمران: 110)

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)” (Surah Ali ‘Imran: 110)

Firman Allah SWT:

﴿وَقُلِ ٱعۡمَلُواْ فَسَيَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمۡ وَرَسُولُهُۥ وَٱلۡمُؤۡمِنُونَۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَٰلِمِ ٱلۡغَيۡبِ وَٱلشَّهَٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ١٠٥﴾ (التوبة: 105)

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” (Surah al-Taubah: 105)

Yang mengasihi kalian,

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Duta Khas YAB Perdana Menteri ke Timur Tengah

Bertarikh: 26 Syaaban 1441 / 20 April 2020