Kerja Keras! Tarik Ahli Umno

2076

Oleh : Nooreni Abu Bakar

KUALA NERUS – Ahli PAS digesa agar bekerja keras untuk menarik ahli-ahli Umno bersama parti itu dan kemudian menjadi anggotanya.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), Haji Muhyiddin Abd Rashid berkata, ahli – ahli Parlimen Umno, seorang demi seorang meninggalkan Umno tetapi tidak ahli-ahli mereka di kampung-kampung.

“Peluang ini perlu diambil segera dengan kerja yang bersungguh-sungguh, dengan sentimen lama perlu diketepikan,” ujar beliau.

Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Terengganu itu berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Pengurusan PAS Terengganu di Batu Enam di sini pada Sabtu 15 Disember.

 

Oleh itu kata beliau, musuh politik PAS pada masa depan mungkin akan bertukar, bukan lagi Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Dan kemungkinannya akan datang kita akan berlawan dengan BERSATU dalam pilihan raya.

“Sebab itu kita kena tambah ahli kita tubuh cawangan baru supaya BERSATU, dia lahir nanti tak kuat macam UMNO dulu,” jelasnya.

Justeru itu, beliau berharap kawasan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) memberi tumpuan yang serius untuk mencapai hasrat penubuhan cawangan-cawangan dan mendaftar seramai mungkin ahli-ahli baru.

Kursus tersebut juga telah dikendalikan oleh Penolong Setiausaha Agong PAS Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Setiausaha PAS Kuala Nerus, Zakaria Dagang.