Kerajaan Tidak Tangani Golongan LGBT

515

Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN – Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender(LGBT) di Malaysia masih tidak ditangani secara tegas dan serius oleh kerajaan Pakatan Harapan(PH) yang memerintah.

Pengerusi Lajnah  Dakwah Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) Ustaz Azman Syafawi Abdul Rani,  buktinya di ibukota  tempat kegiatan mereka yang tidak ditutup.

 

Ustaz Azman Syafawi Abdul Rani

“Tetapi pusat tahfiz terus ditutup dek kesalahan individu sorang dua guru saja, ” ujarnya.

Azman memberitahu demikian ketika menyampaikan ceramah Bicara Ad-Din: LGBT, Ancaman dan Cabaran Kini di Surau Bukit Catak di sini pada 4 November.

Menurutnya, golongan ini bukan saja perlu dibimbing bahkan jika sabit kesalahan,  mereka juga perlu disedarkan.

“Melalui hukuman, seperti hukuman secara ta’zir di Terengganu baru-baru ini, ” jelasnya.

Oleh itu, katanya, penting kuasa politik, bila dipimpin oleh parti yang ingin kepada Islam, kemungkaran dapat dicegah.

“PAS bertungkus lumus berusaha mendapatkan kuasa untuk memerintah negeri-negeri di Malaysia,

” Bukan hanya untuk baiki jalanraya,  bukan hanya untuk baiki rumah-rumah yang rosak. ” terang beliau lagi.

Tetapi yang lebih utama sambungnya, adalah untuk baiki manusia dan rakyat supaya kenal Allah SWT.

“Hari ini, golongan liberal mengangkat pemimpin dikalangan orang bukan Islam, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dan Peguam Negara,
Tommy Thomas, ” tambahnya.

Kesannya maksiat semakin berleluasa, arak mula dipromosi secara terbuka melalui Oktober Fest.

Siri Bicara Ad-Din itu adalah anjuran Lajnah Kebudayaan, Kesenian dan Dakwah, Dewan Muslimat PAS Kawasan Dungun(DMPKD) ke setiap Dewan Undangan Negeri(DUN) di kawasan tersebut dan kali ini ianya di DUN Sura.