Kerajaan Terengganu Disaran Beri Perhatian Kepada CBL

825

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN – Kerajaan Negeri Terengganu disaran mempelbagaikan produk pelancongan dan memberi perhatian kepada khazanah semulajadi gunung Cemerung Berembun Langsir (CBL).

Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) PAS Bukit Besi Ghazali Sulaiman berkata, kawasan tersebut mempunyai potensi menjadi lokasi pendakian yang terkemuka di peringkat antarabangsa.

Tambahnya, sekiranya dimajukan, ia mampu memberi impak positif dan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Saya cukup yakin dan optimis kerana CBL memiliki keindahan dan mempunyai cabaran yang tersendiri melalui trek semulajadi maka ianya begitu digemari dan diminati oleh para pendaki dari seluruh Malaysia bahkan mengamit kehadiran pendaki dari luar negara terutamanya dari Singapura.

“Walaupun di Malaysia kita ini memiliki banyak gunung, namun CBL mempunyai kedudukan serta rankingnya yang tersendiri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai ekspedisi mendaki gunung berkenaan yang dianjurkan oleh syarikat berkaitann kerajaan (GLC) Golden Pharos Berhad (GPB) disini semalam.

Menurutnya seluruh syarikat dibawah GPB menyertai aktiviti pendakian berkenaan melalui wakil-wakil dari setiap anak syarikat, yang berjumlah kesemuanya seramai 55 orang.

“Alhamdulillah saya turut serta dalam ekspedisi berkenaan mewakili PESAKA Terengganu Berhad sebagai ahli lembaga kepada syarikat berkenaan.

“Semua pendaki walaupun penat, menyatakan keterujaan dan menunjukkan keseronokkan, “jelasnya.

Sehubungan itu Timbalan Malim Gunung CBL, Na Abdillah Nordin amat mengalukan-alukan kedatangan para pendaki dan memberi jaminan bahawa pihaknya akan memberikan perkhidmatan yang terbaik.

“Anda akan merasai sendiri keindahan alam semulajadi, kesejukan air di puncak gunung yang begitu jernih.

“Menikmati keindahan pemandangan Taman Bonzai, Jeram Orkid dan akan dapat melihat matahari terbit di Kem Lansir di atas batu di puncak gunung, juga menikamti keindahan Sungai Bagan,”ujarnya.

Menurutnya, setiap individu yang baru menyertai aktiviti pendakian disarankan agar membuat persiapan dari segi mental dan fizikal.

” Semasa mendaki, perlu amalkan aspek keselamatan, jangan berlumba-lumba untuk mendahului, sebaliknya tenang sahaja dan nikmatilah pemandangan dikiri kanan bagi melihat kebesaran ciptaan Allah yang tiada nilai tandingnya,” ujarnya.