Kerajaan PH Wajar Lunas Baki Royalti – Ku Duka

1352

Oleh : KAM

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Pusat yang kini ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) dituntut, melunaskan segera jumlah berbaki bayaran royalti minyak dan gas kepada negeri Terengganu.

Kerabat DiRaja Terengganu, Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasiruddin Shah berkata, beliau difahamkan Terengganu telah menerima sebahagian dari bayaran royalti itu.

Menurutnya, media melaporkan kenyataan Menteri Besar Terengganu telah mengakui menerima pembayaran wang royalti sebanyak RM300 juta pada bulan Ogos dan awal Oktober lalu.

“Ini sifat kebertanggungjawaban kerajaan PH selaku kerajaan pusat untuk menunaikan janji walaupun dalam keadaan ekonomi negara yang baru menginjak pulih.

“Dan keprihatinan serta sikap profesional Menteri Besar Terengganu (Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) dalam menangani dan berunding terus dengan kerajaan pusat bagi mendapatkan kembali wang royalty itu untuk rakyat Terengganu,” ujarnya.

Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasiruddin Shah

Beliau berkata demikian kepada Harakah di pejabatnya, Jalan Batas Baru, Kuala Terengganu, pada 6 Disember lalu.

Tengku Ibrahim yang juga Penaung Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) turut memuji, sikap tegas dan tenang Menteri Besar Terengganu itu yang wajar dicontohi dalam menuntut hak rakyat.

“Kebolehan Dr Ahmad Samsuri selaku Menteri Besar wajar diberikan pujian kerana sikap profesional dan kecekapan beliau, yang membolehkan rakyat Terengganu merasai kembali wang royalti petroleum.

“Rakyat Terengganu telah dinafikan hak ke atas wang royalti sejak tahun 2000, apabila berlakunya perubahan pucuk pimpinan dan kerajaan negeri setelah kekalahan pihak Barisan Nasional (BN) kepada PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-11, tahun 1999,” jelasnya.

http://buletinonline.net/images/stories/berita2/kertehindustri.jpg
Kompleks Pemprosesan Minyak Dan Gas Di Kerteh, Terengganu

Sehubungan itu, Tengku Ibrahim memohon agar kerajaan Pakatan Harapan membuat pertimbangan bagi pemberian baki royalti yang tertunggak.

“Saya mohon juga dari kerajaan PH pusat untuk menimbang pembayaran balik wang royalti yang tertunggak, yang mana saya difahamkan adalah berjumlah antara RM400 juta hingga RM500 juta lagi.

“Wang itu telah digunakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pusat terdahulu untuk projek jalan LPT 2 (Lebuhraya Pantai Timur) II dan lain-lain projek Persekutuan di negeri Terengganu.

“Wang (royalti) itu amat dikehendaki oleh kerajaan (PAS) sekarang untuk tujuan kegunaan menaikan taraf hidup rakyat Terengganu keseluruhanya, Insya’Allah,” jelasnya.

Tengku Ibrahim turut mengingatkan kerajaan Terengganu hari ini agar tidak meminggirkan golongan petani dan nelayan dengan hasil royalti tersebut.

Menurutnya, kaum nelayan yang terdapat di negeri ini masih lagi berada diparas kemiskinan dan perlu dibantu.