Kerajaan PH Terbukti Gagal

923

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini terbukti menghadapi krisis keyakinan rakyat, berhubung dengan isu-isu yang gagal diatasi oleh pentadbirannya.

Ahli Parlimen Setiu Ustaz Shaharizukirnain Abd Kadir berkata kenyataan yang sentiasa berlaku pusingan ‘ U-turn’ membuktikan segala janji kerajaan kepada rakyat makin terhakis.

Menurut Shaharizukirnain isu sijil pengajian palsu ahli kabinet yang didesak oleh DAP sebelum menjadi kerajaan kini menyaksikan parti itu diam seribu bahasa apabila Timbalan Menteri PH pula dikatakan memiliki sijil palsu.

Malah ujarnya lagi, dikatakan masih ramai pemimpin dari parti tersebut membuat perkara yang sama.

Shaharizukirnain sebagai Yang DiPertua (YDP) PAS Kawasan Setiu turut menyentuh isu perlaksanaan AES yang ditentang habis-habisan oleh pemimpin PH sebelum menjadi kerajaan.

“Dahulu PH menyifatkan pelaksanaan AES suatu tindakan kejam walau bagaimanapun, kini isu pelaksanaan AES dikatakan bertepatan dengan Maqasid Syariah.”

“Isu PTPTN, isu penghapusan tol serta isu lantikan ahli politik dalam syarikat milik kerajaan (GLC) membuktikan segala janji kerajaan kepada rakyat sudah hilang kredibilitinya.

“Dimana kredibiliti pemimpin PH?” soalnya terhadap pemimpin kerajaan sekarang melalui kenyataan media pada 11 Februari.

Justeru Shaharizukirnain berharap kredibiliti pentadbiran negara kini dapat diatasi.

“Selagi mana kemelut kepimpinan tidak dapat diselesaikan selagi itulah semakin terhakis ‘trust deficit’ rakyat terhadap kerajaan yang sehingga kini semakin membarah.” tegasnya.