Kerajaan Persekutuan Digesa Campur Tangani Krisis Kashmir

298

Oleh ; Husaif Mamat

MARANG, 6 September – Kerajaan Persekutuan digesa campur tangan membela nasib umat Islam di wilayah Kashmir yang sedang ditindas dengan kejam oleh pemerintah India.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT), Ustaz Nasir Abdul Razak menegaskan, kerakusan kerajaan India yang menarik status autonomi wilayah Kashmir menyebabkan rakyat di sana hidup dalam tekanan dan seksaan.

Jelasnya, tindakan yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab itu berada di luar prinsip kemanusiaan dan undang-undang, justeru perbuatan itu seharusnya dikecam semua pihak termasuk kerajaan Malaysia.

“Kita tidak mahu peristiwa yang pernah berlaku di Arakan (Myanmar) merebak ke Kashmir, kita sangat mengharapkan tindakan daripada pihak berkuasa seperti Liga Arab supaya mengambil tindakan yang segera.

“Kerajaan (Malaysia) juga boleh menghantar utusan (surat) atau pun adakan perjumpaan dan perbincangan dengan kerajaan India,” ujarnya ketika ditemui media selepas Himpunan Solidariti Untuk Kashmir di perkarangan Masjid Titian Baru di sini hari ini.

Katanya, pihaknya akan terus mengadakan himpunan dan bantahan sekiranya isu tersebut tidak diselesaikan dengan segera.

“Kita akan terus beri kesedaran (kepada rakyat) dan mendesak kerajaan Malaysia untuk campur tangan dalam hal ini sehingga umat Islam Kashmir mendapat pembelaan sewajarnya,” tambah beliau.

Dalam himpunan aman berkenaan, kira-kira 1,000 orang menyatakan bantahan terhadap kebiadapan pihak yang tidak bertanggungjawab menyeksa rakyat Kashmir.

Pada 5 Ogos lalu, kerajaan India menerusi satu dekri presiden secara tergesa-gesa membatalkan status khas Kashmir dan mengetatkan kawalan keselamatan secara besar-besaran di sebahagian besar rantau bergolak itu.

Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri India, Narendra Modi juga mengusul satu rang undang-undang untuk membahagikan wilayah itu kepada dua rantau yang akan diperintah secara langsung oleh New Delhi.

Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah, sekutu rapat Modi, memberitahu Parlimen bahawa presiden India sudah menandatangani satu perintah memansuhkan Artikel 370 Perlembagaan yang memberi kuasa autonomi istimewa kepada rantau Himalaya itu.

Sekali gus membatalkan kedudukan istimewa wilayah Himalaya Kashmir dan memutuskan komunikasi serta menghalang pergerakan bebas rakyat rantau itu.