Kerajaan Perlu Bertindak Segera Terhadap Penjualan Gula-Gula Ghost Smoke

209

Kerajaan perlu mengambil tindakan segera yang konstruktif bagi membanteras perkembangan budaya merokok era milenia seperti vape dan pelbagai bahan asap yang lain. Ini susulan penularan terbaru satu rakaman video berkenaan kanak-kanak sekolah menghisap gula-gula Ghost Smoke yang dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook. Kejadian itu dilaporkan berlaku di Sekolah Kebangsaan Pekan Papar, Sabah.

2. Jenis gula-gula ini dijual dengan harga semurah RM0.50 dan beredar secara meluas di sekitar Papar dan berleluasa di daerah lain termasuk Kota Kinabalu. Bahkan aktiviti penjualan ini turut dijual secara atas talian dengan harga RM10 sekotak yang pastinya sungguh mudah untuk diperolehi di era gajet hari ini.

3. Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) ingin melahirkan suatu kebimbangan akan fenomena tidak sihat ini mula merebak dalam kalangan kanak-kanak seawal tujuh-lapan tahun. Bagi kanak-kanak yang menyukai jenis gula-gula ini, mungkin lama kelamaan mereka akan mulai ketagih, bahkan berkemungkinan besar mereka akan menjadi perokok atau pengguna vape apabila dewasa kelak.

4. Justeru itu, DPPM menggesa pihak kerajaan agar mengambil tindakan serius dan memantau di seluruh negara terhadap fenomena ini yang akan merosakkan generasi muda. Bahkan lebih parah lagi, ia akan menambah kesan negatif kepada gejala sosial yang sudahpun dihimpit pelbagai krisis.

5. Keseriusan pihak kerajaan meminda Perlembagaan bagi melayakkan anak muda sebagai pengundi pada usia 18 tahun perlulah seiring dengan komitmen besar memelihara kesejahteraan warga muda menerusi usaha membanteras gejala sosial melalui pendidikan Islam dan moral.

“Islam Memimpin Perubahan”
“Demi Islam”

ABDUL MALIK AB RAZAK
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

20 Zulkaedah 1440 / 23 Julai 2019