Kerajaan PAS Terengganu Tubuh Urusetia Belia

339

Oleh : Adli Mohamad

KUALA TERENGGANU – Kerajaan PAS Negeri telah menubuhkan Urusetia Belia, Sukan Terengganu (UBSNT) yang berperanan sebagai pemangkin dan pemudahcara.

Pengarah UBSNT, Nasir Abdul Razak berkata, melalui unit tersebut para belia akan dibantu mengembangkan bakat dan minat  mereka ke tahap yang lebih baik.

Menurut beliau, mereka mempunyai keunikan yang tersendiri dan  mempunyai kecenderungan kepada aktiviti santai, rekreasi dan kecergasan, malah juga di dalam aktiviti  sukan.

“Dari segi perkasa dan gagah (dimiliki) oleh mereka, masakan kita menjuarai SUKMA kalau kita tidak ada atlet dan anak muda yang perkasa,” jelasnya.

Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu berkata demikian, ketika menjadi tetamu di dalam program Wawancara Khas Bersama Pengarah UBSNT yang bersiaran di TV Darul Iman, di sini, 5 Julai.

Katanya, disebabkan mereka mempunyai minat yang banyak serta pelbagai, maka  perlu untuk diketengahkan oleh UBSNT.

Aktiviti berbentuk santai dan kecergasan, menurutnya begitu mendapat sambutan.

“Yang terbaru kita lihat mana-mana aktiviti berkaitan dengan basikal cukup menarik minat anak-anak muda.

“Dimana setiap minggu, setiap bulan adanya program (seperti) ‘Fun Ride’ dan sebagainya, ini kita melihat minat dan juga kecenderungan anak muda Terengganu cukup-cukup baik,” ujarnya.

Tambahnya lagi, ini mengambarkan mereka perlukan kecergasan dan kesihatan, di masa yang sama memerlukan kerjaya yang perlu diuruskan serta diketengahkan oleh UBSNT.