Kerajaan PAS Bantu Anak Muda Miliki Tanah

355

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN – Kerajaan PAS Negeri Terengganu membantu seramai 33 anak muda di Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) mendapatkan tanah untuk mendirikan rumah melalui pemberian borang 5A bagi Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) AMBS Sejahtera.

Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada pihak Pejabat Tanah dan Daerah meluluskan segera permohonan yang diangkat pada September 2018.

“Proses seterusnya setelah mendapat geran tanah, setelah selesai proses membayar premium kita akan dapatkan pemaju yang mendirikan rumah di atas tanah milikan sendiri.

“Juga akan menubuhkan jawatankuasa untuk memudahkan perbincangan,” jelasnya

Beliau berkata demikian ketika dihubungi semalam, mengulas Majlis Penyerahan Dokumen Hak Milik Tapak Rumah dan Ladang kepada peserta Felda Kertih 4 dan 5, serta Penyetahan Borang 5 A RTB Beril Blok 3 dan RTB AMBS Sejahtera, di Ketengah Jaya pada Isnin lalu.

Menurut Ghazali, bagi mempercepatkan proses berkenaan, pihaknya juga akan melantik syarikat untuk menebang dan menebas pokok dan semak samun serta melakukan timbunan.

“Bagi perkara berkenaan, kita akan minta kerajaan negeri membantu, bagi mempercepatkan proses,” jelasnya.

Katanya, usaha bagi mencari RTB baru akan diteruskan disamping akan cuba menyelesaikan masalah tanah penduduk terkilan.

“Semalam merupakan kali keempat pemberian Borang 5A bagi DUN Bukit Besi.

“Cuma ada sedikit rungutan daripada para peserta menyatakan bayaran premium terlalu tinggi, dimana mencecah RM 6,000 sehingga RM 7,000 dengan keluasan tanah 500 sehigga 600 meter persegi bagi setiap lot tanah RTB Perumahan,” jelasnya.

Namun bergitu, maklumnya, peserta akan berusaha bagi mencari jalan membayarnya dengan kadar segera, kerana menerima tanah adalah detik lama yang telah dinanti.