Kerajaan Nak Buat Baju Silika, Mad Said Kata Boleh Buat Seluar Dalam!

1288
Kawasan loji memprpses membasuh silika mentah di Kampung Sungai Bari, Setiu

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah & Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata, ada pelabur yang berminat dan hampir pasti akan melabur dalam industri silika.

Katanya, pengusaha dari rantau Pasifik itu berminat untuk membuka kilang bagi menghasilkan baju silika yang mampu mengesan tahap kesihatan badan manusia.

“apabila kita demam, baju tu akan bertukar warna,” ujarnya ketika menjawab soalan yang dikemukakan pada Persidangan Kali Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-14, yang berakhir pada Khamis, 29 November.

Ketika mencelah, Mantan Menteri Besar yang juga ADUN Kijal menggamatkan dewan apabila beliau berkata, silika juga boleh digunakan untuk membuat seluar dalam lelaki.

“kalau pakai seluar itu, boleh elakkan ‘mati pucuk’,” ujar Dato’ Seri Ahmad Said, disambut dengan ketawa dan riuh rendah oleh seluruh isi persidangann termasuk para pegawai dan pemerhati.

Industri silika dilihat bakal menjadi sektor pelaburan berdaya tinggi baharu di Terengganu apabila 65 peratus pelabur yang datang mengintai peluang di negeri ini berminat dengan pelaburan pasir silika.

Tengku Hassan Tengku Omar (Gambar bawah) yang juga ADUN PAS Ladang berkata, setakat ini lebih 50 pelabur dari dalam dan luar negara seperti China, Taiwan dan Korea sudah menunjukkan minat mereka untuk melabur dalam industri itu.

Menurutnya, minat yang tinggi itu didorong oleh usaha kerajaan mewujudkan Lembah Silika Terengganu (TSV) seluas 4000 hektar yang dikhaskan untuk membina kilang-kilang silika di Jambu Bongkok, Marang.

“Mengenai status lembah silika di Jambu Bongkok, kerajaan negeri sedang menyediakan pelan induk TSV yang dijangka siap pada Januari depan.

“Kerajaan juga sedang menyediakan infrastruktur di sana dan rundingan dengan Petronas sedang dibuat bagi membina laluan paip untuk membawa gas ke TSV melalui Santong, Dungun ke Jambu Bongkok,” katanya menjawab soalan lisan Alias Harun (PAS-Rantau Abang) tentang status terkini projek industri silika di Lembah Silika Jambu Bongkok.

Menyedari potensi industri silika, kerajaan negeri menetapkan syarat kepada pelabur agar membina kilang di TSV bagi mewujudkan peluang kerja rakyat tempatan dan silika mentah tidak boleh dibawa ke luar negara sebaliknya mesti digunakan untuk industri dalam negeri.

“Kita tidak benarkan eksport bahan mentah ke luar negara, paling kurang kena proses pasir silika di sini ke satu tahap yang boleh kita benarkan bawa keluar,” katanya.

Datuk Tengku Hassan berkata, Terengganu mempunyai deposit silika di semua daerah kecuali Hulu Terengganu dan satu kajian akan dibuat bagi menentukan jumlah sebenar deposit dan tempoh jangka hayat silika di sesuatu kawasan.

“Jumlah dan tempohnya tidak sama, contoh, silika di Rantau Abang boleh bertahan antara enam bulan hingga setahun manakala di Setiu pula boleh bertahan sehingga 200 tahun. Kita sedang tentukan sama ada kajian itu akan dibuat oleh pelabur sendiri atau agensi kerajaan,” katanya.

Nilai pelaburan yang dijangka dibawa pelabur ke TSV bernilai RM13 bilion dan mampu mewujudkan lebih 7,000 peluang pekerjaan dengan kilang pertama bakal siap pada akhir tahun 2020.

Aktiviti lombong silika di Rantau Abang dirakam pada Rabu 7 Mac, 2018

Oleh itu, kerajaan negeri mengambil keputusan meminda bayaran royalti pasir silika memandangkan kadar yang diguna pakai sebelum ini terlalu rendah sedangkan nilai pasarannya tinggi.

Bayaran bagi satu tan silika selama ini, kata beliau, hanyalah sebanyak RM1.50.

Dengan pindaan itu, kerajaan menetapkan kadar bayaran royalti RM5 bagi satu tan silika untuk kegunaan dalam negeri dan RM10 satu tan bagi silika yang dieksport ke luar negara.

“Kadar baharu ini akan berkuat kuasa setelah diwartakan pada Disember ini,” katanya menjawab soalan tambahan Hilmi Harun (PAS-Manir) tentang perancangan kerajaan meningkatkan hasil dari sumber silika.

Menurutnya, kerajaan juga akan meneliti caj pengalihan pasir silika yang sebelum ini hanya dikenakan sebanyak RM1 bagi setiap kenderaan digunakan untuk mengalihkan bahan berkenaan ke kawasan lain.

“Sama ada lori, van, semuanya dicaj RM1 bagi setiap kenderaan yang keluar dari kawasan itu. Ini sangat tidak betul dan kita bercadang meminda caj ini,” katanya.

Menjawab soalan jumlah hasil yang diperolehi dari pasir silika di Terengganu dari Januari 2014 hingga September 2018, beliau memaklumkan kerajaan menerima hasil lebih dari RM385,000 sepanjang tempoh berkenaan.

Hasil itu merupakan bayaran kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri dan royalti diterima Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

Justeru, kata Tengku Hassan, kerajaan akan menetapkan dasar baharu mengenai silika sebagai panduan kepada pelabur-pelabur yang berminat menanam modal dalam bidang tersebut.

“Dasar baharu ini, kita harap pelabur akan lebih jelas tentang kehendak kerajaan terhadap silika dan kita jangka industri silika mampu memberi pulangan besar kepada kerajaan negeri,” katanya.