Kerajaan Boleh Jatuh Di ‘Kedai Kopi’

1544

Oleh : Adli Mohamad

KEMAMAN – Sebarang permasalahan yang melibatkan kerajaan Negeri tidak sewajarnya dibincangkan sewenang-wenangnya di kedai kopi, yang boleh membawa fitnah dan boleh ‘menjatuhkan’ kerajaan.

Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Marang, Zakaria Ismail (Gambar bawah) berkata, ianya membawa impak negatif dan memberi ruang kepada pihak musuh.

Katanya, sikap yang merugikan itu, bukan amalan orang Islam, kerana ciri seorang mukmin tidak membiarkan dirinya ‘disengat dua kali’.

“Bercakap tentang EXCO, tentang pimpinan dan semua sekali (di kedai kopi), (ingin) menunjukkan bahawa dia tahu semua sekali,

“Maka ‘spy-spy’ UMNO tidak perlu pasang semua alat semua sekali, pergi kedai kopi jadi ‘beres selalu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian,ketika berucap pada Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu, di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, semalam 1 Disember..

Menurutnya, kesilapan lalu itu perlu dijauhi, dalam mengekalkan tampuk pemerintahan PAS sekarang.

Sementara itu, ahli dan penyokong PAS dinasihatkan agar tidak mudah kecil hati dengan pemimpin dan wajib taat serta patuh segala arahan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Dungun, Fadli Rahmi Zulkifli (Gambar bawah) berkata, perjuangan PAS berbeza dengan parti-parti lain kerana ia berpaksikan al-Qur’an dan hadis .

Katanhya, berpunca dari terasa hati, seringkali ahli akan bercakap sesama sendiri dan berbicara buruk terhadap pimpinan.

“Saya tidak mengajak ( yang hadir) untuk berada di pentas perjuangan ini membodek atau memuja pemimpin ( yang) merupakan insan biasa seperti kita.

“Namun isunya, adakah teguran menepati adab yang layak terhadap mereka?,” soalnya.

Justeru katanya, perangai yang ‘tidak molek’ berpunca daripada salah faham, wajib dielakkan bagi menjaga keharmonian parti.

Justeru, ahli PAS sewajarnya, menurut beliau, perlu memiliki jiwa perjuangan yang cukup-cukup kental dan tidak mudah goyah.