Kerajaan BN Terengganu Amalkan Semula Pinjaman ‘Riba’?

348
http://buletinonline.net/images/stories/aberita23/Satiful%20Angkat%20Sumpah.jpg

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka, Ustaz Satiful Bahrin Mamat berkata ketika kerajaan PAS memerintah Terengganu dari tahun 1999 hingga 2004, pinjaman berunsur riba dihapuskan kepada pegawai kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan PAS Terengganu pernah menghapuskan riba yang dikenakan melibatkan pinjaman kenderaan sebanyak empat peratus.

“Saya juga ingin mendapatkan penjelasan dari kerajaan. Seingat saya, semasa pemerintahan kerajaan PAS Terengganu yang dipimpin oleh Menteri Besar waktu itu Adun Rhu Rendang (Dato’ Seri Abdul Hadi Awang) yang memerintah.

“Kita (PAS) pernah menghapuskan riba yang dikenakan melibatkan pinjaman kenderaan sebanyak empat peratus. Tetapi, ingin mendapatkan penjelasan adakah ianya (riba) kembali dikenakan semula kepada kakitangan kerajaan negeri,” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah ucapan Sultan Terengganu, pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu ke-13, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, pada 19 Jun lalu.

Ini kerana, katanya berdasarkan edaran pekeliling yang diterima oleh semua Adun dengan jelas menyatakan bayaran perkhidmatan empat peratus dikenakan kepada pemohon pinjaman kenderaan.

Menurutnya, tindakan dikenakan semula caj perkhidmatan empat peratus itu tidak wajar kerana pegawai tersebut berkhidmat kepada kerajaan negeri.

“Ini berdasarkan edaran (pekeliling) yang diberikan kepada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri. Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri layak memohon pinjaman kereta sehingga maksima RM41,000 untuk sekali dalam tempoh empat tahun dengan dikenakan bayaran perkhidmatan sebanyak empat peratus.

“Setahu saya, empat peratus ini telah dihapuskan semasa kerajaan PAS Terengganu tetapi adakah dikenakan semula caj tersebut. Jika dikenakan kembali, saya rasa ianya sangat malang walau pun perkara ini kecil tetapi Allah Ta’ala telah jelaskan dalam al-Quran iaitu “Allah Ta’ala halalkan jualbeli dan haramkan riba”.

“Ini kerana, pegawai dan kakitangan kerajaan kita tidak ada sumber lain dan mereka berkhidmat dengan kerajaan negeri dan dikenakan caj atas nama ‘perkhidmatan’ yang sepatutnya tidak dikenakan dan dielakkan dari riba kerana itu perbuatan keji di sisi Allah SWT,” tegasnya.

Beliau turut menyindir kerajaan negeri yang berpendapatan RM2 bilion setahun masih mengambil caj perkhidmatan tersebut.