Keraguan Mengenai Beberapa Tuntutan Saman Projek Taman Ilmu

791

KUALA TERENGGANU – Terdapat keraguan mengenai beberapa tuntutan saman antara kontraktor utama dengan kerajaan negeri serta sub-kontraktor yang terbabit dengan pembinaan Kompleks Taman Ilmu di Tembila, Besut.

Timbalan Presiden (NGO) Gerakan Anak Terengganu Insaf (Ganti) Wan Mohd Faizul Wan Abas berkata, oleh sebab itu, satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Katanya, ia diadukan kepada pihak SPRM Terengganu agar satu siasatan dijalankan terhadap projek Taman Ilmu yang terbengkalai di Besut.

“Kami dari NGO Ganti datang ke SPRM ini untuk buat satu report (laporan) berkenaan isu terbengkalai Taman Ilmu di Tembila, Besut. Ianya, melibatkan pembinaan selepas daripada terbengkalai tahun 2012.

“Ini melibatkan pembinaan asrama, kompleks pusat pelajar, dewan konvensyen, kompleks sukan dan mini stadium,” jelasnya kepada wakil media di hadapan pejabat SPRM Terengganu kira-kira jam 12.00 tengahari di Wisma Persekutuan, Kuala Terengganu, hari ini.

Menurutnya, keseluruhan projek pembangunan Taman Ilmu itu diagihkan kepada 17 buah syarikat termasuk dengan kontraktor utama dan sub-kontraktor.

Persoalannya, kata Wan Mohd Faizul, terdapat rentetan beberapa saman yang dibuat oleh beberapa buah syarikat kepada kerajaan negeri termasuk daripada sub-kontraktor kepada kontraktor utama.

“Pada 1 Disember 2016, Perintah Persetujuan dibuat di Mahkamah Tinggi Malaya di antara kerajaan negeri (Terengganu) sebagai defendan dengan kontraktor utama,

”Posc TI Sdn. Bhd. sebagai plaintif. Dikatakan pihak kerajaan bersetuju membayar sejumlah RM45 juta,” tegasnya.

Kemudiaan, katanya kerajaan negeri bersetuju mengeluarkan Letter Of Intent (LOI) kepada 17 kontraktor untuk selesaikan tentang bayaran tersebut.

Taman Ilmu Februari 2018

Namun, menurutnya pada 28 Februari 2018 lalu, enam buah syarikat sub-kontraktor dari 17 buah syarikat berkenaan telah menyaman pula kerajaan negeri dan Posc TI Sdn. Bhd. sebanyak RM27,813,007.75 dan kerajaan negeri sebelum ini merupakan defendan kepada plaintif Posc TI.

“Pada 28 Mac 2018 pula ada dua lagi syarikat sub-kontraktor iaitu Yeon Hee Engineering Proff Co dan Vitzrosys Co Itd telah menyaman kerajaan negeri Terengganu dengan jumlah terkumpul sebanyak RM39,488,648 dan saya difahamkan syarikat berkenaan daripada Korea.

“Pada 18 Januari 2018, CS Low Construction Sdn. Bhd yang merupakan sub-kontraktor telah menyaman Posc TI Sdn. Bhd sebanyak RM16,371,125 pula.

“Maknanya, Posc TI Sdn. Bhd yang menyaman kerajaan negeri dan kerajaan negeri bersetuju untuk membayar RM45 juta tetapi Posc TI tidak bayar kepada sub-kontraktor,” jelasnya.

Ini menimbulkan persoalan, kata beliau, jika kerajaan negeri telah bayar kepada Posc TI Sdn. Bhd sebanyak RM45 juta ke mana pergi duit itu.

“Ini yang kami (Ganti) hendak serah kepada pihak SPRM untuk siasat. Rakyat perlu tahu ke manakah duit itu pergi, perbelanjaan yang sepatutnya digunakan untuk Taman Ilmu Tembila, Besut.

“Apa yang menimbulkan tanda tanya, kenapa ada dua syarikat yang sama dalam tuntutan itu iaitu Krafedge Sdn. Bhd. Kita (Ganti) minta pihak SPRM dapat keluarkan kertas putih siasatan untuk rakyat tahu,” ujarnya yang ditemani bersama empat Ahli Jawatankuasa Ganti.

Beliau turut mempersoalkan, kenapa berlaku tuntutan lebih besar daripada jumlah ganti rugi yang dipersetujui dibayar oleh kerajaan negeri kepada kontraktor utama.

“Kemusykilan berlaku, jika kita jumlahkan kesemua tuntutan ini daripada enam sub-kontraktor, Yeon Hee Engineering Proff Co dan Vitzrosys Co Itd, CS Low Construction Sdn. Bhd. itu hampir RM83.6 juta lebih.

“Tuntutan besar tetapi yang diputuskan kepada kontraktor utama RM45 juta sahaja. Ini yang meragukan kami (Ganti) dan rakyat umum,” tegasnya.

Beberapa laporan akhbar pernah mendedahkan kegagalan urus tadbir kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) Terengganu terhadap Kompleks Taman Ilmu di Tembila, yang berharga RM340 juta itu untuk menjadi mercu tanda daerah Besut.