Kenapa Kita Minta Jalan Lurus Dalam Solat

1672

KUALA TERENGGANU – Umat Islam diwajibkan memohon kepada Allah jalan yang lurus dalam solat mereka sekurang-kurangnya 17 kali sehari, jika tidak solat itu batal kerana bacaan fatihah itu adalah rukun solat.

Ia adalah kerana, menurut Presuden PAS, di dunia ini terlalu ramai golongan yang mengaku mereka adalah betul, manakala yang lain adalah golongan yang salah dan sesat.

“Yahudi kata dia betul, Hindu kata dia betul, Buddha kata dia betul, komunis kata dia betul.

“Yang benar dari tuhanmu, tak cukup dengan belajar, mengaji, cerdik kita sahaja, tetapi mesti memohon dari Allah hidayah,” ujar Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata demikian dalam tazkirah sebelum berbuka puasa di Madinah Ramadhan di Batu Burok petang semalam anjuran kerajaan Negeri Terengganu.

Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan, YB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah.

Jelas Ustaz Hadi, al-Quranlah yang akan memberikan petunjuk, jalan manakah yang benar berdasarkan kehendak Allah.

“Di akhirat nanti, semua manusia akan dipanggil supaya meminta pertolongan daripada kumpulan yang sesat dan salah yang mereka ikuti itu,

“kerana Allah akan mencampakkan golongan ini ke dalam neraka kerana melawan Allah dan al-Quran,” katanya.

Beliau yang juga ahli parlimen Marang itu menerangkan, sebab utama Allah mengadakan perkara halal dan haram adalah kerana sayangkan manusia yang tidak mengetahui banyak perkara.

Usta Hadi mengingatkan hadirin yang idealisma selain daripada Islam akan hancur kerana kebatilannya sambil mengimbau kembali banyak kemenangan tentera Islam berlaku sewaktu perang dalam bulan ramadhan.

“Ramadhan bukan bulan lapar dan lemah tetapi bulan yang menaikkan semangat perjuangan,” tegas beliau memberikan keyakinan kepada pendengar.

Madinah Ramadhan akan berlangsung setiap hari pada bulan ramadhan ini dan ia adalah kali kedua diadakan bagi memberi peluang kepada orang ramai membeli belah sambil mendengar tazkirah.