Kenali Musuh Islam Yang Sebenar Di Medan Pergolakan

123

Oleh : Hidayah Azlin

SETIU – Umat Islam seluruh dunia digesa agar tidak lalai dengan perancangan barat yang sentiasa ‘mencucuk jarum’ untuk merancakkan lagi pergolakkan antara Syiah-Sunni.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata, disebalik pelbagai perbezaan yang wujud, pasti ada titik pertemuan yang membolehkan untuk duduk bersama.

‘Jangan sampai kita jadi bahan mainan kuasa barat lalu rancak menari dengan alunan irama muzik gubahan barat untuk memanaskan rentak perbezaan Sunni-Syiah.” katanya pada laman sosialnya, semalam.

Mengulas lanjut tentang persoalan orang ramai menanyakan apakah motif berulang kali bercerita hal persahabatan Sunni dan Syiah, beliau meyatakan pendirian yang jelas bahawa Sunni dan Syiah boleh hidup bersama secara damai walaupun ada perbezaan.

“Biar kita kenal siapa musuh dan lawan yang sebenar. Ketika dunia Islam berhadapan dengan ancaman dan kerakusan kuasa hegemoni barat, kita pula bersemangat untuk terus bertelingkah sesama sendiri,

“Antara sifat negatif orang Arab, mereka mudah melampau bila bertelingkah sesama mereka. Kerana itu, Tuan Guru Presiden PAS, Abdul Hadi Awang sudah terbiasa diundang ke rantau Timur Tengah sebagai orang tengah yang mendamaikan. Arab berbalah, orang bukan Arab yang tolong sejukkan.”tambahnya.