Kemenangan PAS Merubah ‘Sejarah Duka Orang Kampung’

10882
Jalan Kampung Jebak Puyuh yang dirakam sebelum diperbaiki, lecah di musim hujan dan berdebu di musim kering

KUALA TERENGGANU – Kemenangan Parti Islam SeMalaysia (PAS) dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu memberi peluang kepada parti itu, untuk merubah sejarah panjang duka orang kampung.

Pengerrusi Majlis Tindakan Dewan Unangan Negeri (DUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, jalan Kampung Jebak Puyoh di kampung Kerandang yang becak dan berdebu sejak berpuluh tahun, kini sudah dibaiki.

“Ketika pemimpin kerajaan dulu bercakap berdegar-degar tentang pembangunan itu dan ini, sukar untuk dipercayai apabila penghuni Kampung Jebak Puyoh terpaksa meredah jalan yang becak dimusim hujan.

“Dan berdebu dimusim kemarau untuk keluar dan masuk ke kampung mereka. Itulah satu-satunya pilihan jalan yang ada,” ujar beliau yang juga Ahli Jawatankuasa kerja PAS Pusat.

Dr. Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri Terengganu berkata demikian dalam satu kenyataan, di laman sosialnya semalam Ahad, 30 Disember.

Katanya, keadaan sebelum ini berlarutan adalah disebabkan, majoriti penduduk kampung tersebut mengambil pendirian politik yang berbeza dengan pemerintah.

Oleh sebab itu, menurut beliau, rintihan dan rayuan mereka untuk mendapatkan sebatang jalan yang selesa tidak pernah diambil peduli oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Saya telah lama menitiskan air mata bersama penduduk kampung yang tak berdaya walau kita sedar tanpa kuasa air mata tak mampu merubah keadaan.

“Saya hanya melaksanakan sedikit tugas dari bebanan amanah yang dipikul. Rakyat Jebak Puyoh berhak mendapat lebih dari ini. Sejak dari merdeka mereka dinafikan dari menikmati kemudahan jalan kampung yang paling asas,” jelasnya.

Justeru itu, beliau tidak berminat mengungkit lebih panjang, tentang apa yang telah berlaku dan mengapa penduduk kampung telah dinafikan hak mereka.

Namun katanya, sesiapa yang berminat untuk mengetahui kisah lara penduduk terbabit, boleh datang bertamu dan ‘dengar sendiri dari mulut orang kampung’.

“Kita (terus) berjalan ke hadapan (dan) jalan yang dibina telah siap sekitar 60 peratus. Tak lama lagi insyaAllah duka adik kakak (Kampung) Jebak Puyoh lalu jalan becak dan berdebu akan berakhir,” tambahnya.

Untuk rekod kata Dr Azman, Kampung Jebak Puyoh dalam DUN Jabi bukanlah sebuah kampung di pendalaman kerana jaraknya hanya sekitar tiga kilometer dari Pekan Jabi.

“pada saat ini ada 14 keluarga yang menjadi penghuni kampung ini yang telah diterokai sejak dari tahun 40-an lagi,” katanya lagi.