Kemenangan Bukan Bermakna Berada Di Zon Selesa

402

Oleh : Nooreni Abu Bakar

KUALA TERENGGANU – Muslimat PAS Terengganu yang merupakan tenaga penting dalam kejayaan parti itu menerajui Terengganu diingatkan tidak beranggapan kemenangan bermakna berada di zon yang amat selesa.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Senator Dato Ustaz Haji Husain Awang berkata kemenangan bukanlah bermakna sudah terlepas daripada sebarang tanggungjawab.

“Sekarang ini kita telah menang apa pula jihad kita, apa pula tugas kita selepas pilihan raya? soal beliau ketika merasmikan Muktamar Tahunan Muslimat PAS Terengganu kali ke-46 di sebuah hotel di sini pada 20 April.

Menurut beliau, tanggungjawab amal maaruf nahi mungkar di dalam suasana menjadi kerajaan sepatutnya lebih berkeupayaan dan  semakin kukuh dengan dibantu dua institiusi iaitu institusi parti dan institusi kerajaan.

“Kalau dulunya kita mempunyai satu institusi parti, iaitu jentera penerangan samada muslimin, samada muslimat, ulama, Pemuda dan Ameerah, menyebarkan kefahaman Islam, kefahaman parti, melaksanakan amar maaruf nahi mungkar.

” Jadi apabila kita menang kita mempunyai dua institusi, iaitu institusi parti yang menjadi tunjang kepada kita dan satu lagi institusi, institusi kerajaan, Institusi yang mewakili kerajaan kita iaitu kerajaan PAS, yang mewakili kerajaan Parti Islam SeMalaysia (PAS), ” jelasnya.

Katanya,  dengan adanya jentera yang dibentuk oleh kerajaan tetapi dilantik oleh parti iaitu Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera(- IMITS) , Majlis Daerah maka bila berdepan masyarakat dengan lebih bergaya, lmantap, lebih bermaruah.

“Oleh itu jangan kita tinggal tanggungjawab kepada parti Islam, jangan kita menganggap yang  kita bekerja untuk kerajaan, kita meninggalkan parti,” tegasnya lagi.