Kemarahan Rakyat Terhadap DAP Gelombang Tolak PH

3149

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN – Kebiadapan DAP telah menimbulkan kemarahan rakyat akan membentuk satu gelombang menolak PH pada pilihan raya Umum ke-15 nanti.

Ketua Pemuda PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ridhuan Yusof berkata parti pembangkang perlu meningkatkan usaha penerangan agar isu parti komponen PH itu disebarkan di kalangan masyarakat

“DAP semakin parah dan semakin berani yang mana kita lihat mereka telah mencampuri urusan zakat dan telah berani berceramah didalam masjid.

“Ini telah mencemarkan institusi Islam itu sendiri, dan isu agama ini sangat sensitif kepada orang Melayu Islam di Negara ini dan Islam bukan agama yang boleh dipermainkan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ditemui pihak media di Perkarangan Masjid Muhajiri Felda Jerangau, pada Jumaat 7 Jun.

Menurut Ridhuan, parti itu menunjukkan kerakusan dan memberi isyarat mahu menguasai semua urusan Umat Islam.

“Saya yakin dengan kesedaran dan pembentukan gelombang Umat Islam di Malaysia ini. Pada PRU 15 akan datang, pastinya akan dapat menumbangkan kerajaan PH yang semakin hari semakin bercelaru.

“PAS pastinya akan mengatur strategi bagi mengadakan program penerangan di semua peringkat, malah akan menggunakan medium media sosial bagi memberi penerangan kepada rakyat didalam isu-isu yang semakin mencabar dan menyentuh sensitiviti umat Islam yang semakin memeningkan, “ujar beliau