Kem Smart Muslim’ Tangani Budaya ‘Gila’ Gajet

419

Oleh : Izzat Al-Qushairi

KUALA NERUS – ‘Kem Smart Muslim’ menjadi bukti sesungguhnya Pemuda PAS komited menangani masalah gejala sosial dan pembudayaan ‘gila’ gajet secara keterlaluan yang membarah dalam kalangan remaja hari ini.

Ketua Pemuda PAS Kawasan Setiu, Ustaz Mohd Shafizi Ismail berkata, selain ilmu dan kemahiran yang diperolehi di sekolah, kem sedemikian boleh membina jati diri sebagai muslim di samping menjana minda kreatif remaja.

Katanya, pemuda boleh menjadikan program seumpama itu sebagai pemangkin untuk berdepan dengan cabaran akademik dan menangani gejala sosial yang menakutkan.

“Ia bersesuaian dengan objektif program bagi meningkatkan kefahaman remaja kepada Islam, melahirkan pelajar cemerlang dalam pembelajaran dan hala tuju dunia dan akhirat.

“Kem ini juga sebagai usaha memupuk semangat kerjasama dalam kumpulan dan meningkatkan jati diri yang mulia dalam kalangan peserta,” katanya kepada pemberita kelmarin.

Menurut Shafizi, kepelbagaian pengisian aktiviti dalam kem selama tiga hari itu memberi peluang kepada setiap remaja bagi menonjolkan kemampuan masing-masing.

Katanya, antara aktiviti yang diadakan ialah memanah, refleksi diri pada ilahi, latihan dalam kumpulan (LDK), Explorace , Qiamullail dan motivasi bersama PU Rahmat.

Lebih menarik katanya, penganjuran membabitkan 117 peserta itu diusahakan Pemuda PAS Batu Rakit sendiri dengan pelbagai kepakaran tanpa mendapatkan khidmat pihak luar.

“Program ini kali ke-6 diadakan, pertama sekali rasanya jarang kita dengar pemuda sendiri sepakat menganjurkan aktiviti seumpama ini.

Beliau berkata, pihaknya berharap Pemuda dapat menjadi pelopor dalam usaha berterusan untuk memastikan anak-anak bergiat aktif bukan sahaja di sekolah tetapi di luar sekolah.

“Pemuda PAS kami juga aktif menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk, usrah bulanan, retreet, kejohanan sukan bola sepak, sambutan tahun baharu, ziarah orang sakit, ziarah kematian, sambutan membara, berkhatan dan kenduri-kendara,” katanya.

Program membabitkan peserta berusia 11 tahun hingga 18 tahun itu diadakan di Markaz Tarbiyyah Wakaf Tengah Batu Rakit, di sini, pada 5 hingga 7 Disember lalu.