Kelompok Artis Dan Seniman Dalam Pemugaran Arus Dakwah Negara

1129

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

JIKA Indonesia terpanar dengan kesan “gelombang hijau” akibat penghijrahan artis, seniman dan budayawan papan carta utama seperti Deddy Mizwar, Opick dan puluhan nama besar yang lain, negara kita juga mengalami ombak seni yang sama sekitar lima tahun ini. Kelompok seniman yang mencari jalan hidup bertuhan telah menjadi fenomena besar tanahair sehingga menimbulkan kegusaran pihak berkuasa apabila anak seni ini memilih untuk bersama gerakan Islam.

Nama besar bidang seni seperti Azmil Mustapha, Bob Lokman, Pierre Andre, Abby Abadi, Zuar XPDC, Ali XPDC, Zulkifli M. Osman, Sham kamikaze dan ratusan yang lain seolah membentuk satu gelombang besar yang memercik kesannya pada masyarakat. Mereka hadir dalam majlis forum, talkshow, sembang santai, misi kebajikan, misi dakwah jalanan, juga menghadiri usrah dan memeriahkan panggung dakwah tanah air.

Artis merupakan komponen penting masyarakat Malaysia yang telah dibudayakan dengan budaya hiburan yang menggila, daripada kanak-kanak kecil hinggalah warga emas hiburan merupakan santapan penting kehidupan di negara ini. Hiburan dijadikan senjata yang ampuh oleh kerajaan BN untuk meredakan kemarahan dan keresahan rakyat dengan pelbagai penyelewengan, skandal dan salah urus pentadbiran. Rakyat menjadi buta tuli dengan isu kerana disuap dengan aneka hiburan murahan malah artis diangkat menjadi ikon utama negara diberikan tempat yang mulia berbanding golongan cendekiawan negara ini.

Memandangkan artis merupakan kelompok elit dalam strata baru masyarakat, maka menjadi kewajaran kepada gerakan Islam mendekati kelompok ini kerana kesan kepada masyrakat adalah sangat besar. Parti Islam Indonesia PKS (Partai Keadilan Sejahtera) sebagai sebuah contoh gerakan Islam yang telah berjaya memanfaatkan fenomena seni di negara tersebut. Mereka mempunyai halaqah-halaqah yang dipimpin oleh kader-kader dakwah PKS untuk mengadakan konsert-konsert alternatif terutama untuk menyalurkan bakat artis-artis yang telah kembali ke pangkuan hidayah Islam. Kesannya PKS menjadi parti yang dekat dengan golongan anak muda dan remaja, serta dilihat tidak anti sosial dan yang lebih penting mesej kepada masyarakat bahawa Islam tidak menolak hiburan yang tidak bercanggah dengan syarak.

Para amilin gerakan Islam sangat mengimpikan untuk membentuk artis-artis yang berjiwa Islam untuk sama-sama berada dalam wadah perjuangan PAS, terutama melalui bimbingan majlis-majlis ilmu, kita harus akur bahawa kelompok ini mempunyai peminat masing-masing yang sudah tentu jika dapat ditarik ke dalam perjuangan, akan memberikan kelebihan kepada PAS. Teman-teman kita PKS di Indonesia telah lama berjaya mendekati golongan artis dan memanfaatkan golongan seniman ini untuk kepentingan dakwah bahkan telah berjaya meneroka budaya popular dengan baik seperti menghasilkan filem-filem dakwah, novel-novel Islami, teater dan menganjurkan konsert-konsert alternatif kepada golongan muda di negara itu.

Para amilin gerakan Islam sehingga sekarang menanti filem-filem ‘gaya kita’, menurut kebenaran yang kita perjuangkan seperti mengenai tokoh-tokoh ulama seperti Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Tuan Guru Haji Hassan Munas (Tok Janggut), wajar rasanya dengan beberapa buah kerajaan negeri yang kita kuasai dapat mengeluarkan bajet untuk menghasilkan filem-filem sejarah besar ini, apatah lagi dengan sejarah perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu hari ini cuba untuk memencilkan peranan para ulama.

Seingat saya kerajaan Libya yang dipimpin oleh Muammar Ghadaffi telah mengeluarkan puluhan juta dollar US untuk menghasilkan filem sejarah tokoh ulamanya yang tersohor Umar Mukhtar-Lion of the Desert, filem sejarah perjuangan kemerdekaan ini telah ditonton oleh jutaan khalayak di seluruh dunia dan berjaya mengangkat martabat ulama Libya ini yang akhirnya terkulai di tali gantung. Filem ini merakamkan dengan baik sikap patriotisme umat Islam dalam menentang penjajah Itali.

Mendekati seni dan budaya mestilah juga menjadi agenda Jemaah Islam hari ini kerana kelompok ini sangat besar dan berpengaruh kepada masyarakat. Sekurangnya gerakan Islam dilihat tidak memusuhi ruang budaya dan seni kerana ruang ini juga harus diisi dengan pendakwahan terhadap masyarakat.

(Penulis ialah AJK Pas Pusat, Pengerusi Lujnah kesenian dan kebudayaan Pusat)