Kejayaan PAS Bergantung Keikhlasan Ahli

316

Oleh :Nooreni Abu Bakar

DUNGUN – Kejayaan PAS Terengganu bergantung rapat keikhlasan ahli yang berperanan sebagai sayap parti sehingga sanggup bersengkang mata semata-mata melaksanakan arahan pemimpin.

Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri(DUN) Rantau Abang, Alias Harun memuji kesungguhan muslimat, Ameerah, Pemuda dan Jabatan Amal bekerja seperti yang mengikut stategi yang diatur oleh pemimpin demi melihat Islam memerintah.

“Terima kasih kepada semua, inilah tenaga – tenaga yang setiap kali ada program parti atau tugasan-tugasan parti, mereka tanpa berlengah menyahut panggilan dan insyaAllah, inilah tenaga-tenaga yang akan mengambil alih tempat pemimpin hari ini,” ujarnya.

Alias bercakap demikian ketika menyampaikan ucapan merasmikan Program Meraikan Sayap Parti Dewan Undangan Negeri(DUN) Rantau Abang di PASTI Jalan Intan di sini pada 12 Jun lalu.

Di majlis tersebut sedikit sumbangan telah disampaikan sebagai menghargai pengorbanan yang telah mereka lakukan.

Sementara itu, ketika menyampaikan ucapan motivasi, Timbalan Pengarah DUN, Ustaz Azman Shafawi Abdul Rani, memuji sayap parti PAS yang sentiasa mendahului agensi-agensi kerajaan.

“Jabatan Amal kita dikenali sebagai orang yang pertama memberi bantuan di mana-mana bencana dan memudahkan tugas agensi-agensi kerajaan serta pasukan beruniform,” jelasnya.