KEBAP Ditubuhkan Secara Rasmi Dan Berdaftar Sebagai NGO

1427

Oleh : RR

KUALA TERENGGANU – Kelab Kakitangan Pejabat Perhubungan PAS Negeri Terengganu (KEBAP) yang telah ditubuhkan dan diluluskan pendaftaran oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia (PPM) pada bulan Disember 2018 secara rasminya berdaftar sebagai Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Pengerusinya, Ustaz Zakaria Dagang berkata, ianya adalah sebuah organisasi yang menghimpunkan semua kakitangan Pejabat Perhubungan PAS Negeri Terengganu.

“Tujuan penubuhannya adalah untuk menjaga kebajikan kakitangan pejabat dan memupuk hubungan yang lebih erat dalam kalangan kakitangan pejabat.

“Dan KEBAP akan menjalankan pelbagai aktiviti seperti hari keluarga, sumbangan persekolahan anak-anak ahli, program qurban dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau yang juga Setiausaha PAS Kawasan Kuala Nerus berkata demikian selepas Perasmian Penubuhan Kelab Kebajikan Kakitangan Pejabat Perhubungan PAS di sebuah restoran di sini semalam, 3 Disember.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah.

Oleh itu, Ustaz Zakaria berkata, ahli KEBAP terbuka kepada bekas-bekas kakitangan sebagai ahli bersekutu.

“Hari ini telah diadakan mesyuarat agung kali pertama KEBAP dan dalam mesyuarat agung telah dibuat pemilihan Ahli Jawatankuasa KEBAP untuk tempoh dua tahun (2019-2021),” jelasnya.

Sehubungan itu, Penasihat 2 KEBAP, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, apa sahaja niat yang dilakukan adalah untuk agama agar berada dalam keadaan hebat dan selamat.

“Kita berada di posisi masing-masing (dengan)memperkuatkan posisi masing –masing dan berusaha untuk melaksanakan yang terbaik.

“Mengikut apa yang di amanahkan kepada kita oleh Allah SWT dan pimpinan serta jemaah kita,” jelasnya.