Karnival Bukit Payong: Presiden PAS, MB Sebagai Penyeri

616

KUALA TERENGGANU – Satu program kemasyarakatan, yang mendekatkan kerajaan Negeri dan rakyat, akan diadakan di perkarangan Pasar Kedai Buloh, Dun Bukit Payong selama empat hari, bermula 1 hingga 4 Mei ini.

Program yang dinamakan Karnival Bukit Payong Sejahtera adalah anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Bukit Payong dan bakal dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Khamis, 2 Mei, jam 2.30 petang.

Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang turut bersama-sama memeriahkan lagi karnival ini pada hari Jumaat, sebelah malam dalam satu ceramah mega bersama Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad dan juga Exco Kerajaan Terengganu, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Menurut Pengarah Karnival, Haji Haris Malik, karnival ini amat bertepatan masanya dengan situasi kerajaan dan juga semasa iaitu Kerajaan Negeri bakal menyambut ulang tahun pertama pemerintahan dan juga kedatangan ramadhan kira-kira seminggu lagi.

“Dalam karnival ini juga, banyak agensi kerajaan yang turut sama turun bagi menjayakan program ini, sekaligus rakyat akan mendapat maklumat tepat berkenaan agensi-agensi berkaitan.

Pengarah Karnival, Haji Haris Malik

Selain itu juga, agensi-agensi itu akan menyediakan kemudahan, penerangan peluang-peluang bagi rakyat yang telah disediakan oleh kerajaan, ini adalah capaian terus, tidak melalui mana-mana pihak ketiga.

“Maka saya menyeru kepada semua lapisan masyarakat untuk hadir ke karnival ini, bagi mendengar sendiri segala info-info berkaitan, samada anda peniaga, pelajar, kakitangan awam dan sebagainya,” terang Haji Haris.

Selain itu juga, menurut beliau, beberapa acara sukan rakyat, kemasyarakatan serta hiburan yang diharuskan syarak juga ada disediakan oleh penganjur bagi menceriakan lagi perjalanan karnival ini.

Termasuk katanya, dalam acara ialah pameran kesihatan, pendaftaran pengundi oleh Suruhanjaya Pilihanraya, dam aji, cabutan bertuah dan banyak lagi.

“Tidak ketinggalan dan suatu acara wajib bagi karnival sebegini ialah kuliah dan ceramah sebagai teras kepada acara seperti ini.

“Jadi kita sediakan perkara dunia dan akhirat kepada pengunjung semua.

Kita sediakan peluang berniaga contohnya dan lebih penting daripada itu kuliah-kuliah, ceramah-ceramah yang akan dipersembahkan oleh personaliti tersohor seperti Ustaz Azhar Idrus,” jelas beliau lagi.

Pemilihan tempat juga, tambah Haji Haris, sangat sesuai bagi menjenamakan semula Pasar Kedai Buloh yang mengalami kemerosotan pengunjung sejak beberapa tahun lalu.