Kampong Baru: Ikonik Bangsa Melayu Di Tengah Kota Raya

201

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

Sebulan ini nama Kampong Baru menjadi sebutan, meniti bibir ke bibir rakyat negara ini lantaran keseriusan pihak kerajaan kelihatan bersungguh untuk mengambilalih pembangunan Kampong Baru. Antara versi sejarah merakamkan, pembangunan penempatan Melayu ini digerakkan oleh penjajah British dalam dekad 1890an.

Kampong Baru semakin berkembang selaras dengan kepesatan Kuala Lumpur yang menjadi pusat pembangunan negara ini, orang Melayu memilih kampong Baru kerana wajah kekampongan, keserasian serta akses perhubungan yang mudah. Berjiran dengan jalan Chow Kit dan sangat strategik maka nilai tanahnya sangat tinggi.

Pelbagai sejarah dirakamkan di kampong yang menjadi nadi kota ini, Kg Baru pada tahun 1951 merakamkan para alim ulama berhimpun kali kedua di Kelab Sultan Sulaiman dan akhirnya ke arah penubuhan Persatuan Islam SeTanah Melayu pada 24 November 1951. Muktamar PAS dalam dekad 50an menyaksikan Kampong Baru sering menjadi penempatan para perwakilan dan pemerhati. Di kampong baru, tempat bermukimnya, Almarhum Ustaz Azid Jaafar, mantan Pesuruhjaya PAS Selangor dan juga pegawai Penerangan PAS Pusat. Rumah beliau juga menjadi tempat berhimpunnya pencinta ilmu dalam dekad kebangkitan Islam, menyulam ukhuwwah dalam program menadah kitab pada setiap pagi ahad.

Tragedi berdarah 13 Mei 1969 menyaksikan kekacauan menyelimuti Kuala Lumpur. Hubungan komunal negara ini sangat rapuh, api perkauman mudah terbakar pada jerami kering, kesan polisi ‘pecah dan perintah’ di zaman British. Darah tumpah dalam semarak api kedai-kedai terbakar sehingga perintah berkurung diadakan. Kampong Baru menjadi tempat berlindung orang Melayu semasa kekacauan kaum 1969 di Kuala Lumpur.

Dalam sejarah Kampong Baru ratusan bantahan awam atau demonstrasi telah diadakan, pelbagai isu terutama yang menikam nurani umat Islam. Masjid kampong Baru menjadi pengkalan ummah berhimpun setiap hari jumaat. Antara demonstrasi yang terbesar pernah diadakan ialah pada tahun 1980, digalang demonstrasi skala besar ummat Islam anti Komunis Soviet yang menyerang Afgnistan. Saat Afghanistan dibantai dan diganyang oleh Beruang Merah Russia maka, puluhan ribu umat Islam berhimpun di Kampong Baru dan berarak ke Kedutaan Russia.

Pada tahun 1998, apabila berlaku pemecatan DS Anwar Ibrahim maka antara pengkalan demonstrasi rakyat yang cintakan keadilan, walaupun DS Anwar menyifatkan sebagai luka kecil kemudiannya. Masjid Kampong Baru menjadi saksi bisu dalam era Reformasi acara kejar mengejar antara demonstran dan aparat keamanan. Jajaran kedai-kedai buku di Kampong Baru yang turut menjual cd-cd ceramah panas politik dan bahan-bahan politik anti kerajaan.

Kemenangan PH turut mengancam kewujudan Kampong Baru, sehingga kita merasa kepelikan mengapa Menteri Wilayah begitu bersungguh mengusahakan supaya warga Kampong Baru menjual tanah mereka. Hilang kampong baru maka tiada lagi kampong beridentiti Melayu di tengah kota. Lihat sahaja apa yang berlaku pada Kampong Kerinchi yang hanya tinggal pada papan tanda LRT sahaja, Kampong Kerinchi diam-diam menjadi Bangsar South. Selepas Kampong Kerinchi, Kampong Abdullah Hukum, Kampong Puah makin ditelan arus pembangunan sehingga mencampakkan orang Melayu jauh daripada pusat utama kotaraya.

Saya pelik, mengapa Kampong Baru tak dipelihara sebagai kampong warisan Melayu apatah lagi Kuala Lumpur dalam sejarahnya dibuka oleh Sultan Puasa. Jadikan Kampong Baru sebagai pusat pelancongan yang diidentitikan sebagai kampong Melayu dengan jajaran kedai-kedai makan bercitarasa masakan Melayu, pusat memperkenalkan warisan budaya dan kesenian Melayu. Kampong Morten di bandar Melaka adalah contoh terbaik bagaimana kampong warisan Melayu boleh dikekalkan sebagai tarikan pelancongan, juga Kampong Cina di bandar Kuala Terengganu yang dikekalkan warisan kecinaan untuk tarikan pelancong. Moga kerajaan PH dan warga Kampong Baru memikirkan usaha memelihara kampong Baru sebagai kampong warisan Melayu ditengah kotaraya.

(Penulis ialah mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Pengerusi LESTARI)