KAMI Berkelana Ke Kemboja

276

Oleh : Adli Mohamad

Kemboja – Seramai 10 anggota Kumpulan Aktivis Media Indipenden (KAMI) berkelana ke Kemboja untuk Misi Korban sempena Aidil Adha tahun ini.

Pengarah Program, Ahmad Faizul Mohd Yusop, berkata, rombongan KAMI akan berada selama tiga hari di negara itu dan telah tiba di Lapangan Terbang Phnom Penh pada jam 7.20 pagi, Selasa.

“Di hari pertama kita telah sampai ke kampung Baharu di Wilayah Pursat setelah mengambil masa lapan jam dari Phnom Penh untuk sampai.

“Sebanyak 12 ekor lembu telah disembelih untuk korban dan aqiqah bagi diagihkan kepada 200 keluarga Islam yang menetap disini,” jelasnya.

Beliau demikian, ketika ditemui pihak media, selepas menyempurnakan sembelihan di kampung tersebut.

Katanya sebanyak 14 ekor kambing turut dikorbankan dan diaqiqahkan di Kampung Chnang.

“Dan berbaki lagi 16 ekor akan dikorbankan di kampung yang lain di Kemboja ini mewakili rakyat Terengganu yang telah memilih dan menyerahkan kepada KAMI untuk melakukan ibadat korban dan aqiqah di Kemboja,” ujarnya.

 

Sementara itu anggota KAMI turut mengagihkan makanan kepada masyarakat kampung berkenaan.

Sehubungan itu, Ahli Jawatankuasa KAMI, Dzakaria Mohd Salleh menegaskan, penduduk kampung itu sangat perlu kepada pendidikan Islam terutamanya kepada kanak-kanak.

“Kita dapati mereka kurang diberi didikan kerana mereka kurang faham, apabila kita beri salam mereka terpinga-pinga dan tidak menjawab,

“Ketika menerima gula-gula mereka hanya menggunakan isyarat sahaja, dan orang dewasa yang sama-sama membantu menyempurnakan penyembelihan korban, tidak ikut sama bertakbir,” jelasnya.