Kaji Secara Holistik Punca Utama Pencemaran Sungai

409

Kerajaan digesa untuk mengkaji secara berkesan dan komprehensif punca utama fenomena pencemaran sungai yang berlaku di Malaysia dan langkah-langkah yang bersepadu bagi memastikan sumber bekalan air negara terus terjamin dan bersih.

2. Faktor utama pencemaran sungai selain tabiat masyarakat yang membuang sampah, senario pelepasan sisa kumbahan dari industri kilang, pertanian dan penternakan juga menyumbang pencemaran sungai di negara kita terutamanya yang melibatkan sisa buangan bahan berbahaya.

3. Kita tidak mahu tragedi pencemaran sungai akibat sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang berulang lagi. Selain itu, baru-baru ini pencemaran sungai akibat sisa buangan ammonia di Sungai Machap dan Sungai Ulu Benut di Simpang Renggam Johor dan semalam di Sungai Batang Melaka, Alor Gajah yang menjejaskan lebih 18, 000 penduduk heboh di media massa.

4. Di samping dakwaan dan hukuman yang berat dikenakan ke atas pesalah yang melakukan pencemaran sungai, Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu bekerjasama secara bersepadu dan menggembleng usaha bagi menangani pencemaran sungai di negara kita yang bukan sahaja menjejaskan ekosistem malah mengancam nyawa manusia sendiri.

5. Larangan membina rumah mahupun bangunan baharu di tepi sungai semata-mata bagi mengelakkan pencemaran sungai tidak mencukupi. Memperkasakan penguatkuasaan dan pemantauan secara berterusan di kawasan industri kilang yang beroperasi di tepi sungai dan kawasan penternakan serta pertanian yang cenderung membuang sisa kumbahan di sungai perlu ditingkatkan bukan di loji kumbahan semata-mata.

6. Kerajaan perlu memperluaskan kepakaran dan keprofesionalan ahli akademik tempatan dalam menyelidik secara holistik pencemaran sungai dan cara mengembalikan kualiti sungai negara kita. Selain menaik taraf teknologi rawatan air dari semasa ke semasa, sistem pembentungan juga perlu teratur dan lebih efisien, malah penyelenggaraan yang baik.

“Islam Memimpin”

TUAN CHE ALIAS BIN HAMID
Ahli Parlimen Kemaman