Jika Tuannya Hina, Manakan Khadam Lebih Mulia

302

Heboh dikatakan semalam tentang adanya cadangan bagi mendirikan kerajaan baharu Malaysia tetapi tanpa disertai DAP dan Pan. Ianya didakwa digerakkan oleh bekas Naib Presiden Umno, Dato’ Hishamuddin Tun Hussein Onn.

Perdana Menteri, Tun Mahathir apabila ditanya, hanya memberikan jawapan ringkas, mereka boleh mencubanya. Namun, kerajaan berasaskan kaum ini ditolak oleh satu kenyataan bersama yang ditandatangani oleh semua setiausaha parti-parti dalam PH.

Malah Anwar dengan tegasnya menolak pelawaan itu sambil menyifatkan ianya bercanggah dengan apa yang PH sedang jalankan sebagai sebuah kerajaan. Katanya, cubaan ini langsung tidak akan dimasukkan dalam sejarah, malah dalam bentuk nota kaki sekalipun.

Saya tidaklah terlalu memikirkan cadangan ini akan diterima atau tidak oleh PH secara total, mahupun bersyarat. Ianya adalah satu pandangan politik yang digerakkan oleh orang yang berpengalaman dan juga bekas menteri senior. Dan isi cadangan itu juga, jangan dipandang ringan kerana pastinya beliau tidak membuat tawaran secara ‘cincai’, perkiraan mendalam wajib sudah dibuat kerana ianya mahu mendirikan negara.

Jadi saya tertarik dengan isi kandungan ajakan beliau iaitu tanpa DAP dan Pan, dua buah parti yang bukan saling memerlukan, tetapi dua buah parti antara tuan dan khadam. Pastinya khadam memerlukan tuannya melebihi segalanya. Kenapakah begitu yakin Hishamuddin mahu menolak keduanya dalam membentuk kerajaan baharu?

Ya, saya kira dengan keadaan terkini, rakyat sangat memahami akan situasi DAP yang sangat tidak layak menjadi kerajaan, malah juga untuk posisi pembangkang di Malaysia. Dengan isu yang sangat teruk terjadi hasil tangan mereka sendiri, maka tiadalah rakyat Malaysia yang waras bersetuju dengan mereka. Mereka mempunyai pakej lengkap untuk dinyahkan dari politik tanahair.

Menipu dalam banyak hal terutama berkenaan janji manifesto, mempunyai pemimpin yang ditangkap atas tuduhan keganasan, kurang ajar dengan negara, memilih kroni bagi beberapa jawatan penting sedangkan mereka berjanji tiada lantikan politik, mendidik belia mereka agar biadap dengan universiti, tempat mereka belajar, ada hubungan dengan komunis seperti yang diakui mereka, fahaman yang menentang Islam semakin melebar di Malaysia.

Sebagaimana kononnya kehendak mereka mahu menjadikan negara semakin baik berbanding dengan BN dahulu, sebaliknya mereka menjadikan negara semakin buruk dengan jurang antara kaum dapat dilihat semakin meruncing, ekonomi, hutang negara. Jelas tindakan Hishamuddin amat tepat untuk tidak mengajak duri yang berbisa ini, duduk bersama daging wagyu yang enak, kerana nanti tiadalah gunanya daging yang enak jika sudah bercampur dengan duri berbisa ini.

Jika tuannya sudah dilihat hina oleh khalayak, maka akankah khadam mereka yang tidak membantah apa pun kejahatan tuannya lakukan itu, akan dipandang lebih mulia? Jadi sekali lagi tepat apa yang Hishamuddin cadangkan, Malaysia Baharu tanpa DAP dan Pan, pasti Malaysia akan lebih sejahtera insyaAllah.

Mohd Nasir Abdullah
16 Oktober 2019