Jihad Politik Kini Fardhu Ain Setiap Muslim

2747

Oleh : Aziz Hambali

MARANG – Asal hukum ‘jihad’ ialah fardhu kifayah, tetapi apabila terdapat masalah dalam negara dan ummah, maka ia menjadi wajib bagi setiap individu muslim.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan, agar masyarakat jangan hanya berpegang bahawa fardhu ain itu hanya solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan sahaja.

Namun tegasnya, jihad menegakkan kuasa Islam juga merupakan fardhu ain.

“Kita kena sedar bila kuasa politik di ambil alih pihak yang tidak sepatutnya, kita tidak boleh buat apa. Kalau kuasa politik hilang daripada orang Islam, boleh berlaku segala-galanya. Hal ini menandakan politik sebahagaian dari ajaran Islam.

“Kita kena libatkan diri, anak-anak, para pemuda kita dengan politik. Ajak dan ajar anak kita dengan politik Islam kerana politik ini juga sebahagian dari peninggalan nabi,” katanya

Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian pada Daurah Kitab Kupasan Berpolitik dari Kalam Wahyu (Tafsir Al-Quran) bersempena Ihtifal Idul Ilmi Maahad Darul Quran kali ke 28 di Masjid Rusila, pagi tadi

Menurutnya, menjadi ijmak para ulama melantik kepimpinan negara kecuali mazhab yang sesat yang mengatakan tiada politik dalam Islam.

“dalam ilmu politik dan perundangan antarabangsa, tidak boleh diiktiraf sebuah negara melainkan memiliki negeri,

“rakyat, pemimpin, perlembagaan dan kedaulatan sebagaimana sebuah negara (pada zaman) Rasulullah (yang melaksanakan kelima-lima perkara ini di Madinah.” jelasnya.

Rakyatnya ujar beliau, adalah di kalangan Muhajirin dan Ansar.

“Muhajirin merupakan mereka yang berhijrah dari Mekah dan Ansar pula adalah kaum Aus dan Khazraj yang asalnya berperang di antara satu sama lain lalu disatukan menjadi orang Islam,” tambah beliau.

Justeru itu, kata Tuan Guru, para ulama bersepakat mengatakan, adanya ketua yang memerintah adalah ijmak para sahabat selepas wafatnya Nabi.

“Ini menunjukkan bahawa menegakkan politik Islam adalah wajib,” tegas beliau lagi.