Jenazah Almarhum Ustaz Nor Azli Selamat Disemadikan

3948

Jenazah mantan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS pusat Al marhum Ustaz Nor Azli Musa telah selamat disemadikan di Madinah, Arab Saudi dengan diiringi oleh sahabat handai dan keluarga yang berada di bandar suci itu.

Anakandanya, Ahmad Syakir dalam catatan melalui laman sosialnya turut mengucapkan terima kasih kepada para pelajar dan pihak konsulat serta rakan di Malaysia yang banyak membantu dan memberi kata semangat.

“Tak lupa buat yang berada di Malaysia. Semoga Allah membalas jasa kalian.

“Rehatlah abi di sebaik baik tempat rehat di dunia. Ini kampung kita,” ujarnya.

Ahmad Syakir juga memohon kemaafan bagi pihak almarhum kepada semua orang yang mengenali beliau.

“(Mungkin ada yang) terasa hati dengan ayahnda (dan) jika ada hutang hutang yang berbaki bolehlah menuntutnya kepada saya sendiri atau mana mana ahli keluarga kami,” tambah beliau.

Sementara itu, PAS menyeru kepada seluruh ahlinya agar dapat menunaikan solat jenazah (ghaib) terhadap almarhum.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, pemergian almarhum adalah satu kehilangan besar kerana kegigihan dan kecekalan beliau dalam perjuangan.

“(Almarhum) banyak berbakti kepada jamaah dan masyarakat, semoga Allah mengurniakan keampunan dan merahmati beliau serta meletakkan rohnya dikalangan hamba yang soleh.

“Juga salam takziah daripada seluruh kepimpinan PAS pusat buat ahli keluarga almarhum. Semoga sabra dan tabah atas ujian ini,” ujar Nasrudin dalam satu kenyataan lewat petang hari ini.