Jawatan Adalah Amanah Yang Perlu Dipikul Sebaiknya

547

Oleh : Hidayah Azlin

KUANTAN – Amanah Kepimpinan sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bagi sesi 2019/2021 merupakan bebanan tanggungjawab berat yang perlu dipikul sebaiknya secara bersama.

Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, tiada kemampuan untuk memikul amanah yang berat ini tanpa pertolongan dari Allah SWT.

“Jumlah undian yang agak besar mendatangkan sedikit kegerunan kepada saya apabila mengira beratnya amanah berbanding keupayaan diri.

“Tapi oleh kerana tanggungjawab dan tugasan berjemaah ini dipikul secara bersama, insyallah Allah kita buat yang terbaik,” ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Kawasan Setiu,berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas diumumkan keputusan pemilihan AJK PAS Pusat di Muktamar Tahunan PAS bertempat Stadium Tertutup SUKPA pada 24 Jun.

Menurutnya,ketelusan pemilihan tersebut berjalan tanpa membelanjakan satu sen pun untuk berkempen.

“ Tak ada. Tak ada! Kami tidak habis satu sen pun duit untuk berkempen bagi pemilihan ini. Malah sepatah perkataan dalam ‘Facebook’ pun tidak ada ditulis beritahu khalayak bahawa kami jadi calon. Jauh sekali nak buat poster dan sebar merata-riti.

“Malah, ada pula di kalangan mereka yang menulis artikel menceritakan latar belakang dan kelebihan kawan-kawan yang menjadi calon walaupun dia sendiri turut jadi calon.

“Semua kerana ukhuwwah dan lebih mengutamakan sahabat berbanding diri sendiri. Bertanding atas dasar menawarkan diri untuk sama-sama menyumbang tenaga kepada perjuangan. Kalau dipilih, astaghfirullah! Tak dipilih, alhamdulillah!” jelasnya.

Kata Dr Azman, jawatan adalah taklif
yang bermakna tanggungjawab dan bukannya tasyrif iaitu kemuliaan.

Dr Azman turut menzahirkan dengan penuh tawadhuk berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan.

Beliau juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua kawasan yang memberi pencalonan kepadanya untuk mengisi Jawatankuasa Pilihanraya PAS Pusat dan semua perwakilan yang memberi undi.

“Bila kita bekerja demi agama Allah, yakinlah bahawa semua itu tidak bersandarkan dengan kudrat tulang empat kerat sahaja. Paling penting sekali ialah pertolongan Allah.

“Kita yakin Allah akan membantu kita dalam melaksanakan kerja-kerja berat ini. Doakan agar dipermudahkan,” tambahnya.