Janji PTPTN Terpesong

490

Oleh KAM

MARANG – PAS menyifatkan kenyataan terkini pengurusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), yang mahu mengenakan semula sekatan kepada peminjam itu telah terpesong dari janji manifesto pilihan raya lalu.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, janji manifesto pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, lalu mahu meringankan beban rakyat termasuk orang muda.

Menurutnya, sekatan yang akan dikenakan kepada peminjam PTPTN itu sekaligus bercanggah dengan apa yang diperjuangkan.

“Saya rasa itu sudah lari daripada janji manifesto (PRU14). Manifesto itu nak meringankan bebanan terhadap rakyat termasuklah orang-orang muda khususnya.

“Kita nak menuju ke arah pendidikan percuma. Bercanggahlah dengan apa yang nak diperjuangkan. Kita biarkan sahajalah, mereka berkuasa.

“Insya’Allah, rakyat dapat menilai,” ujarnya kepada pemberita, selepas menyampaikan Kuliah Dhuha Pagi Jumaat, di Masjid Rusila, Marang, pada Jumaat.

PTPTN dilaporkan bercadang memperkenalkan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman tersebut.

Perbadanan itu dilapor turut mencadangkan agar menyekat peminjam daripada memperbaharui pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan kepada kabinet.