Janji Manifesto Dilunaskan

252

Oleh: Pyang Mamat
Gambar oleh: Ezani

Kemaman, 5 November – Satu lagi janji manifesto PRU14 ditunaikan oleh Kerajaan PAS Terengganu apabila seramai 200 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) mengundi lot tanah masing-masing semalam.

Program Undian Lot Siri Pertama sebahagian daripada peserta Rancangan Tanah Berkelompok 1999 – 2004 (RTB Terkilan) telah dinantikan selama 15 tahun oleh pesertanya untuk dimiliki.

Peserta RTB yang terlibat adalah RTB Kampung Mak Lagam, Cukai, Kampung Tempurung, Air Putih, Kampung Matel, Kerteh, Kampung Jabat, Kerteh dan Kampung Bukit Anak Dara, Kijal.

Majlis yang diadakan di Pejabat Tanah Kemaman itu disempurnakan oleh Penolong Setiausaha 1, PAS Kawasan Kemaman Yang Berhormat Hanafiah Mat merangkap ADUN Cukai.

“Saya mengharapkan agar tanah yang akan tuan tuan miliki ini tidak terbiar, mesti dimanfaatkan, mesti didirikan rumah walaupun kecil,” ucap beliau.

Kebanyakan peserta yang ditemui teruja dan gembira dengan apa yang terlaksana ini dan berterima kasih kepada Pejabat Tanah Kemaman terutama Wakil Rakyat mereka.

Turut hadir pada majlis ini adalah Pengarah Tanah Kemaman Mohamad A. Rahman, ADUN Air Putih Yang Berhormat Razak Ibrahim, ADUN Kemasik Yang Berhormat Ir Saiful Azmi Suhaili dan Penyelaras Dun Kijal Hazri Jusoh.