Janji ke-10 Manifesto PAS Dilaksanakan Tahun Hadapn

1789

KUALA TERENGGANU – Janji ke-10 Manifesto PAS pada PRU kali-14, menubuhkan pusat pemulihan penagih dadah secara holistik, akan menjadi realiti apabila kerajaan mengambil alih Bekas Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Cenderawasih Cador, Marang.

Ketua Peneragan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, modul pelaksanaan pusat tersebut hampir 90 peratus siap dan dijangka dilaksanakan pada tahun hadapan.

“Kerajaan negeri juga sedang menuggu penyediaan Unit Perancang Ekonomi (UPEN) berkenaan dengan status untuk mengambil Kem Cador termasuk kos pengambilan tanah dan bangunan.

“Keputusan berkaitan akan dibuat dalam mesyuarat dengan agensi berkenaan, berhubung dengan perkara tersebut tidak lama lagi, ” katanya.

ADUN Bukit Payong itu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Hari Anti Dadah Kebangsaan (HADK) 2019 Peringkat Negeri Terengganu di Felda Kerteh 5, di sini pada Khamis 18 April.

Katanya, kerajaan akan menyempurnakan modul tersebut berasaskan kepada modul yang baru yang disediakan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kementerian Dalam Negeri dan diselaraskan dengan beberapa modul yang disediakan oleh pensyarah-pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kuala Terengganu.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Dato’ Izhar Abu Talib dan Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Hilmi Fahzan Abdul Wahab.