Jangkaan Pertumbuhan 2020 Sukar Untuk Dicapai

126

Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat berpandangan adalah sukar untuk Malaysia mencapai sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk tahun 2020 sebanyak 4.8%. Faktor utama yang menyokong jangkaan kami ini adalah krisis terbaharu penularan wabak koronavirus (2019-nCoV) yang semakin merebak.

Jangkaan kami ini berasaskan fakta pergantunggan pertumbuhan tahun 2020 kepada inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020), yang juga merupakan elemen penyumbang utama kepada pertumbuhan. Untuk TMM2020 ini Kerajaan mengjangkakan ketibaan pelancong asing seramai 30 juta, yang mana berpotensi untuk menyumbang sebanyak RM100 billion kepada pendapatan Malaysia.

Dengan penularan wabak koronavirus ini kami mengjangkakan ianya akan merencat ketibaan pelancong asing ke Malaysia, seterusnya akan memberi kesan kepada sumbangan sektor pelancongan kepada KDNK Malaysia.

Krisis koronavirus ini merupakan faktor tambahan kepada krisis keyakinan terhadap pasaran Malaysia, yang masih belum pulih dan menyebabkan pelembapan ekonomi berterusan. Terkini mengikut laporan MIDF Amanah Investment Bank Bhd Research, untuk tiga minggu pertama pada 28 Januari 2020 kemasukkan modal asing ke pasaran Malaysia menyusut kepada RM29.4 juta berbanding RM320.9 juta minggu sebelumnya. Dalam tempoh yang sama ini juga Malaysia menerima kemasukkan modal terkecil berbanding negara-negara Asean lain.

Bagi menampung jangkaan penyusutan pertumbuhan yang mungkin berlaku disebabkan faktor-faktor di atas, kami menyarankan:

Kerajaan harus menggalakkan rakyat untuk melancong di dalam negeri. Ini secara langsung akan terus menyokong permintaan domestik di tambah pula dengan penurunan nilai ringgit yang disebabkan penurunan Kadar Asas Semalaman (OPR) baru-baru ini. Sumbangan pelancongan domestik masih signifikan yang mana untuk tahun 2018 seramai 78.2 juta pelancong domestik dicatatkan yang menyumbang pendapatan sebanyak RM60.4 billion.

Sektor pengeluaran yang berorientasikan ekspot harus digalakkan dan diberi insentif untuk meningkatkan pengeluaran mereka. Regim nilai ringgit yang rendah sekarang harus diambil peluang oleh para pengeluar dengan meningkatkan ekspot mereka seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi. Buat masa ini Indeks Pengeluaran (PMI) dalam trend meningkat pada paras Indeks 50 dalam bulan Disember 2019 berbanding Indeks 49.5 bulan November.

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi 2
Lajnah Ekonomi, Hartanah & Pembangunan Usahawan PAS Pusat.

2 JamadilAwal 1441H
28 Januari 2020