Jangan Tinggalkan Tarbiyah

213

Oleh : Amrullah Mansor

DUNGUN – Para Pemuda PAS digesa supaya meletakkan elemen tarbiyah sebagai tunjang utama dalam gerakan parti, menghadapi era pergolakan politik Malaysia masa kini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Dungun (DPPKD), Fadhli Rahmi Zulkifli berkata agenda tarbiyah ini bukan sahaja pada zaman PAS kalah, bahkan mesti ditingkatkan ketika mengecap kemenangan.

“Kita sangat perlukan didikan tarbiyah untuk melatih dan memantapkan iman kita seterusnya menjadikan kita seorang pejuang kepada agama Allah yang sentiasa istiqamah berada dalam pejuang ini.

“Diharapkan kita (pemuda) sentiasa mendokong agenda-agenda Islam yang kami (PAS) bawa dan perlu diingatkan bahawa agenda pejuangan ini tidak akan terhenti,” katanya.

Justeru itu tegasnya, DPPKD sentiasa berusaha untuk melazimkan program-program rohani agar Pemuda sentiasa istiqamah, berada pada jalan menegakkan agama.

“Program Liqa’ Fikri seumpama ini kita tidak akan berhenti, bahkan kita akan teruskan dan berusaha untuk mengumpul lebib ramai lagi anak – anak muda demi bersatu atas nama Islam,” jelasnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pembukaan pada Majlis Liqa’ Fikri yang bertajuk Taawun Siyasi Penyatuan Ummah di Pusat Tarbiyyah Dan Kafa (PUSTAKA), Taman Permint Indah, Dungun Terengganu.

Turut hadir, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama’ PAS Negeri Terengganu, Zulkhairi Ngah, Ketua – ketua Pemuda PAS dari setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan cawangan-cawangan.

Sehubungan dengan itu, Fadhli berkata, sebagai generasi muda Islam, perlulah menjadi agen perubahan membawa pemikiran ‘segar’ dalam kalangan masyarakat.

“Kita generasi baru mesti membawa perubahan orang-orang lama, yang mana baik kita ambil dan yang buruk kita buang jauh-jauh,

“Ubahlah ‘landscape’ (persekitaran) pemikiran dan pergerakan supaya kita ada satu pendekatan yang mana kita sedang berhadapan dengan realiti yang timbul pada hari ini,” ujarnya.

Jelasnya lagi, ia sekaligus menjadikan satu acuan budaya yang hebat tanpa merungkai dasar dan asas yang sudah sedia ada.