Jangan Takbur Dengan Allah

1085

Oleh : Abu Umar Al-Ayyash

MARANG – Allah mendidik generasi yang terdahulu dalam banyak siri perang tentang bahana takbur dengan Tuhan supaya menjadi tauladan terbaik kepada terkemudian.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berpesan supaya umat Islam mesti bergantung kepada Allah dengan sekuat-kuatnya dan jangan sombong.

“Banyak hikmah pengajaran yang sangat penting daripada peristiwa Badar, Uhud dan Hunain berkait dengan kebergantungan kepada Allah ini.

“Dalam perang Badar, tentera Islam diberi kemenangan, walaupun bilangannya sedikit sementara dalam perang Uhud tentera Islam mengalami luka kerana melanggar arahan Nabi
serta bilangan yang besar sahaja, tidak akan menjamin kemenangan dalam peperangan Hunain,” ulasnya pada Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, di sini pada 2 Ogos.

Sebaliknya menurut beliau, ketika peristiwa Badar, jumlah tentera Islam sedikit iaitu 313 orang berperang melawan 1000 orang di mpihak musyrikin. Tentera musuh lengkap bersenjata, dengan baju besi dan topi besi. Manakala, orang Islam pula hanya ada dua ekor kuda sahaja. Senjata pasukan Islam sangat sedikit dan tak cukup.

Malah terangnya, sesetengah sahabat hanya bersenjatakan kayu dan pelapah tamar sahaja, mereka tak ada baju besi tetapi mereka sangat bergantung kepada Allah.

Jelas Tuan Guru lagi, dalam peristiwa Hunain, jumlah tentera Islam ramai selepas berlaku peristiwa Fathul Makkah. Semuanya berjumlah 10000 orang tentera Islam berperang dengan Bani Thaqif dan Bani Hawazin di dataran Hunain yang besar. Sehingga ada yang berkata, tidak akan ada sesiapa pun yang mampu mengalahkan mereka pada hari tersebut.

“Mereka bercakap besar, sehingga merasakan mereka pasti akan menang. Mereka berasa ujub (kagum) dengan diri sendiri. Mereka lupa kepada Allah.

“Apabila sampai ke Lembah Hunain, mereka dikepung dan dihujani dengan anak panah-anak panah oleh musuh. Kebanyakkan mereka habis lari bertempiaran, yang tinggal hanya 100 orang bersama dengan Rasulullah (selawat dan salam ke atas baginda).

“Kisah ini ada dinyatakan di dalam Al-Quran, pada Surah At-Taubah ayat 25,

(Sesungguhnya Allah telah menolong kamu dalam medan peperangan yang banyak dan pada hari peperangan Hunain ketika kamu dijangkiti ‘ujub (kagum) oleh banyaknya jumlah bilangan bala tentera kamu, maka ia tidak boleh mendatangkan apa-apa faedah kepada kamu di medan perang itu sehingga rasa sempit bumi yang luas itu kepada kamu, kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.)

“Apabila diserang, bumi yang luas pun terasa sempit. Kalau Allah tak tolong, nescaya habislah semua. Dengan sebab berlaku ujub, umat Islam dipukul dalam Perang Hunain.

“Ketika peristiwa Uhud, Rasulullah (selawat dalam salam ke atas baginda) mengalami luka, sahabat-sahabat luka, 70 orang sahabat telah menemui syahid. Ada sahabat yang bertanya, “Kenapa boleh jadi begini?”. Maka, Allah suruh Rasulullah jawab, itu semua terjadi disebabkan oleh diri kamu sendiri,” katanya.