“Jangan Sesekali Tinggal Jemaah,” Pesan Tok Guru

2083

Oleh : Solahuddin Al-Idrus

Perbincangan kami pada petang itu berkisar, seputar perjuangan orang dulu-dulu.

Cerita Tok Guru, pertalian hubungan antara para pejuang pembebasan yang anti British dengan golongan agamawan sangat rapat. Tidak ketinggalan ada juga ulama-ulama tempatan yang turut turun padang menjadi pejuang pembebasan. Sebahagian daripada mereka memfokuskan usaha memberi kefahaman kepada masyarakat dengan mencurahkan ilmu agama serta kepentingan menjaga akidah.

Datuk Bahaman, Tok Gajah, Tok Janggut, Tok Ku Paloh, Sayyid Saggof, Hj. Abdul Rahman Limbong, Ku Sri Bijaya, Pok Su Hitam, adalah beberapa nama yang tersebut sebagai watak pejuang anti British yang punyai kaitan dengan negeri Terengganu.

Setengah mereka menjadi pejuang di medan yang digelar oleh pihak British sebagai pemberontak. Dan sebahagian daripada mereka membawa panji perjuangan secara silmiyyah di dalam pentadbiran kerajaan. Pun begitu, mereka tidak terpisah sama sekali. Bahkan mereka saling bahu membahu dan saling hormat menghormati.

Para pejuang pembebasan atau dalam bahasa Terengganu disebut ‘tok dekor’ yang hampir tewas di negeri Pahang telah mengambil keputusan untuk lari ke Terengganu. Mereka bukannya lari dari medan, tapi berundur sementara ke Terengganu untuk merangka strategi dan juga meningkatkan kekuatan spiritual dengan merujuk kepada ulama-ulama di Terengganu yang terkenal dengan ilmu pemantapan akidah.

Difahamkan, mereka berpecah kepada dua kumpulan besar. Sebahagiannya pergi mendapatkan perlindungan dan tunjuk ajar daripada almarhum Tok Ku Paloh di Kampung Paloh dan sebahagiannya lagi ke Kampung Rusila, mendapat perlindungan di bawah Tok Guru Hj. Abdul Rahman yang selepas itu pernah menjadi Penghulu dari Chendering hingga ke Jambu Bongkok di era pemerintahan Sultan Ismail.

Benar. Rantaian perjuangan Islam itu panjang dan bercabang-cabang. Namun ia tetap satu. Tujuan dan perjalanannya menuju kepada hadaf yang sama. Bukan rantaian Islam andai mereka berpecah belah. Bahkan mereka saling berhubungan serta bertolongan.

Ulama-ulama atau tok guru dari Terengganu yang turut bersama mempertahankan tanah air dari penjajahan telah menyambut baik kehadiran sahabat-sahabat seperjuangan mereka dari belah Pahang. Diajar kepada mereka tentang pemantapan akidah dan strategi medan mengikut acuan Quran dan Sunnah sebagai bekalan kekuatan agar kembali ke medan dengan jasad dan spiritual perjuangan yang tak terkalahkan.

Tok Guru yang kita maklumi sedang keuzuran menjadi begitu semangat dan tidak menampakkan sedikit pun riak keuzuran pabila bercerita perihal perjuangan. Keramahannya sehingga kami bagai melupai bahawa kami sedang berhadap dengan seorang yang gah namanya di persada negara dan dunia.

Walaupun beliau seorang yang berstatus Presiden PAS dan Naib Ketua Ulama Sedunia, keakrabannya berbual dengan kami seolah-olah seorang ayah dengan anaknya. Suaranya begitu gagah, riak wajahnya bersungguh-sungguh, senyumannya mencerminkan kekuatan dan kerinduan kepada sebuah perjuangan yang diwarisi.

“Hj. Abdul Rahman Limbong juga seorang pelayar. Saya masih simpan pelita kapal layar zaman dulu. Nok tengok?” Lantas dengan bersungguh-sungguh Tok Guru bingkas bangun dari kerusi dan masuk ke biliknya. Sejurus kemudian beliau keluar dengan sebuah pelita lama di tangannya. Lentera. Sejenis pelita minyak kelapa yang digunakan ketika pelayaran, jelas Tok Guru.

Menurut Tok Guru, selain Sayyid Saggof dan Tuan Hj. Abdul Rahman Limbung, tokki beliau Tok Guru Hj. Abdul Rahman turut menjadi tenaga pengajar di surau Sayyid Saggof yang terletak berhampiran Perhentian Bas Kuala Terengganu. Waktu itu ramai yang datang ke surau tersebut untuk mendengar kuliah agama terutamanya mereka dari daerah Hulu Terengganu. Mereka datang dengan menaiki perahu dan rakit dari hulu ke kuala. Mereka juga membawa pisang dan pelbagai buah-buahan untuk diniagakan.

Satu jam setengah bagai tidak terasa dek keasyikan dan kesungguhan mendengar kisah perjuangan daripada Tok Guru. Kalau tidak fikirkan akan kesihatan Tok Guru dan waktu yang makin hampir dengan Maghrib, pasti kami panjangkan lagi pertemuan ini. Serasa begitu berat untuk menangguh pertemuan yang mungkin tiada lagi peluang sepertinya selepas ini. Justeru kami mengucap terima kasih kepada Tok Guru kerana sudi serta meluangkan masa untuk kami pada petang ini. Kami bergambar kenangan.

Sebelum pulang kami mohon sepatah nasihat daripada Tok Guru untuk kami terus istiqamah dengan perjuangan agama, bangsa, dan tanah air ini. Sepatah sungguh yang Tok Guru pesan kepada kami. Walau sepatah, walau pendek, namun kami amat hargainya. Dan kami mohon kepada Tuhan agar kami dapat pegang pesan tersebut hingga hujung nyawa kami.