Jangan Lupa Daftar Pemilih

286

Oleh : Pyang Mamat

KEMAMAN – Mendaftar sebagai pemilih adalah satu elemen yang penting bagi membolehkan rakyat memilih kerajaan untuk memerintah samada di peringkat negeri ataupun negara.

Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman, Ustaz Ustaz Hazri Jusoh mengingatkan hanya yang berdaftar sahaja yang layak mengundi seperti mana yang telah diperuntukkan di dalam perlembagaan Malaysia.

“Dalam asyik bermain, kita jangan lupa untuk mendaftar sebagai pemilih dan isu-isu yang berbangkit dalam negara kita sekarang,” katanya.

Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri(MTD) Kijal itu, menyatakan demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Liga Sembilan Sebelah DUN Kijal di Padang Bank, Kampung Penunjuk di sini pada 7 September.

Kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu, iaitu 6 dan 7 September menyaksikan pasukan dari Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK) Rumah Awam Kos Rendah(RAKR) Bukit Kuang berjaya menjulang Piala Pusingan dan dinobatkan sebagai juara.

Memandangkan sambutan yang menggalakkan pada liga tersebut, Ustaz Hazri turut mencadangkan agar dianjurkan liga 11 sebelah pula pada masa akan datang.

Beliau seterusnya memuji pasukan-pasukan yang menyertai kejohanan itu yang tidak keberatan untuk mematuhi syarak dan menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi.

“Banyak perkara yang dapat dibentuk dalam permainan bola sepak ini antaranya ialah kesabaran dalam diri apabila kita tertekan,” katanya.