Jangan Gopoh Inginkan Perubahan Drastik

4075

Oleh : Hidayah Azlin

SETIU – Rakyat dinasihatkan agar jangan terlalu gopoh menginginkan perubahan drastik terhadap pemerintahan kerajaan negeri Terengganu terutama dalam sektor pertanian.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata, pemerintahan baru terus komited melaksanakan pelbagai pelan hala tuju kerajaan negeri dalam usaha untuk membina negeri yang maju, berkat dan sejahtera.

“Ambil alih kerajaan dari pentadbir terdahulu macam kita kahwin janda anak ramai. Bila dah kahwin, semua anak dengan suami dulu jadi anak kita. Tak boleh pilih kasih. Semua kena cakna.

“ Anak sendiri kita proses ‘slow-slow’ dengan tertib. Dalam masa setahun, dah lahir tiga, empat orang. Mana mungkin setahun kahwin nak suruh dapat 10 orang anak terus. Sabar, kita buat satu persatu,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata demikian ketika ditemui sewaktu menyantuni para peniaga dan pengunjung di tapak Bazar Ramadhan Renek, pada Jumaat, 10 Mei.

Oleh itu menurutnya, projek pertanian tinggalan kerajaan dulu yang dibina dengan duit rakyat adalah amanah yang perlu dipikul oleh kerajaan sekarang agar ia dapat memberikan impak sosio-ekonomi kepada rakyat.

Katanya, tak sepatutnya ia menjadi isu bila projek-projek ini dilawati dan diambil cakna bagi meneruskan kesinambungannya.

Selain itu, menurut Dr Azman, kedamaian perlu dipupuk dalam menjaga hubungan antara manusia tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit samada penduduk di bandar ataupun luar bandar.

“ Jadikanlah bulan Ramadhan yang mulia sebagai medan untuk membentuk, mendisiplinkan diri dan berlumba-lumba membuat kebaikan.

“Saya berharap kita semua dapat mengekalkan keharmonian di negeri ini,” ujarnya.